Penggantungan AIFF satu ‘rahmat’ buat KL City FC, Harimau Malaya
Dunia bola sepak dikejutkan dengan penggantungan Persekutuan Bola Sepak India (AIFF) oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) akibat terdapat campur tangan pihak ketiga.
Menurut surat yang dihantar kepada AIFF, FIFA menyatakan bahawa pasukan kebangsaan dan kelab India tidak dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa sehingga penggantungan itu ditarik balik.
Sudah tentu di India ketika ini peminat bola sepaknya sedang berduka cita atas penggantungan itu, tetapi ia boleh dikatakan satu ‘rahmat’ yang besar bagi bola sepak Malaysia.
Ini kerana, ia akan memberi kesan kepada pasukan bola sepak kebangsaan dan juga pasukan KL City FC yang sedang bersaing di Piala AFC ketika ini.
Malaysia kini sedang berada di ranking ke-26 Asia manakala India di tangga ke-19 dan sekiranya digantung, kedudukan India dalam ranking tidak akan dikira.
Untuk slot ke Piala Dunia 2026 bagi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), slot automatik ke pusingan kelayakan kedua diberikan kepada pasukan di tangga pertama hingga 25 manakala pasukan di tangga ke-26 dan ke atas harus melalui pusingan pertama terlebih dahulu.
Mungkin masih terlalu awal untuk meraikan perkara tersebut kerana tempoh penggantungan tidak diketahui dan FIFA juga kemungkinan boleh menarik semula penggantungan sekiranya isu itu diselesaikan tetapi berdasarkan keadaan semasa, situasinya adalah seperti itu.
Untuk KL City pula, sekiranya mereka berjaya melepasi ujian PSM Makassar 24 Ogos ini, kelab India, ATK Mohun Bagan akan menanti di peringkat separuh akhir antara zon.
Ini bermakna KL City secara automatik akan layak ke perlawanan akhir antara zon sekiranya berjaya menewaskan PSM Makassar.
Situasi ini lebih kurang sama pada Piala AFC 2015 ketika JDT mendapat ‘bye’ pada peringkat separuh akhir selepas penyertaan lawannya, Al-Qadsia daripada Kuwait dibatalkan selepas persatuan bola sepak negara itu dikenakan penggantungan.
Ini pastinya mampu menjadi pembakar semangat buat anak buah Bojan Hodak untuk melangkah ke perlawanan akhir memandangkan satu pencabar sudah tersingkir.
Bagi legenda India, Bhaichung Buthia, ini adalah perkara positif buat bola sepak negara itu kerana ia membolehkan AIFF memperbaiki sistem mereka.
Tambahnya, dengan penggantungan itu ia akan memberi satu ruang buat semua pihak membina semula bola sepak India daripada asas dan meningkatkan tahap bola sepak negara itu pada masa depan.
Bekas kapten pasukan kebangsaan yang pernah bemain bersama Perak FA dan Selangor MK Land itu berharap perkara itu dapat diselesaikan dengan segera supaya penggantungan itu diangkat dalam masa terdekat.