Jepun dan pemain kacukan berpisah tiada, manfaat kelebihan untuk jadi gergasi Asia

3,675

Pasukan kebangsaan dan kelab Jepun telah sekian lama mendominasi bola sepak Asia dan semakin menjadi antara kuasa besar dalam arena antarabangsa.

Selain daripada semangat dan motivasi yang ditunjukkan oleh para pemain, pendekatan yang diambil pihak Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) sedikit sebanyak memberi kesan kepada peningkatan luar biasa negara tersebut.


Salah satunya adalah dengan lambakan pemain kacukan yang dimiliki oleh negara Matahari Terbit ini.

Kemunculan banyak pemain dari golongan yang diberi gelaran Hāfu ini dilihat semakin memeriahkan kancah bola sepak Jepun.                                                                                                        

Hāfu merupakan gelaran yang diberikan kepada warganegara Jepun yang berdarah kacukan.

Ramai pemain kacukan yang semakin mendapat tempat di kelab-kelab besar di Liga Jepun dan sebahagian besar dari mereka turut menarik minat kelab luar negara terutamanya Eropah.

Kualiti permainan dan kelebihan fizikal yang dimiliki ini juga turut menjadi faktor utama sebilangan daripada mereka diserapkan ke dalam Samurai Blue.

Pemain kacukan Jepun-Nigeria, Joel Chima Fujita merupakan salah seorang pemain muda yang semakin mempamerkan aksi memberangsangkan.

Fujita yang kini bersama pasukan Yokohama F. Marinos telah membuat 19 penampilan untuk saingan liga musim ini.

Beliau juga merupakan antara nadi utama pasukan di kejohanan AFC Champions League 2022 selepas diturunkan pada kesemua perlawanan peringkat kumpulan April lalu dan akan terus memberi saingan pada peringkat kalah mati selepas ini.

Kehebatan Fujita juga turut ditagih oleh ketua jurulatih pasukan Jepun, Hajime Moriyasu selepas beliau diturunkan pada dua aksi sebelum ini.

Pemain berusia 20 tahun ini merupakan salah seorang ahli pasukan Jepun yang telah berjaya menjuarai Kejohanan Bola Sepak Asia Timur (EAFF) baru-baru ini.

Selain Fujita, seorang lagi pemain kacukan Jepun-Jamaica, Musashi Suzuki merupakan antara pemain kacukan yang mempunyai kebolehan dan corak permainan yang cukup berkualiti.

Pemain Gamba Osaka ini pernah beraksi di kelab Eropah, Beerschot V.A. yang bersaing di liga divisyen kedua Belgium.

Suzuki juga pernah menyarung jersi Samurai Blue sebanyak sembilan kali selepas melakukan debut pada tahun 2019.

Penglibatan pemain-pemain ini dari usia muda dilihat memberi kesan yang besar kepada peningkatan kualiti dan kemampuan pasukan negara ini secara keseluruhan.

Ini merupakan antara pemain yang dikenali buat masa ini, tetapi sebenarnya Jepun telah memperkenalkan pendekatan ini sejak bertahun lamanya.

Terdahulu, bekas pemain Vissel Kobe, Jun Marques Davidson merupakan antara pemain berdarah campuran yang turut menarik perhatian.

Pemain berdarah Jepun-Amerika Syarikat tersebut pernah beraksi bersama beberapa kelab di liga Amerika Syarikat sebelum mengumumkan persaraannya pada tahun 2017.

Bekas pemain Liga Malaysia, Issey Nakajima dan Bruno Suzuki merupakan antara pemain kacukan Jepun yang turut berkelana beraksi di liga luar.

Kehebatan kedua-dua pemain ini tidak dapat dinafikan ketika mereka berjaya pasukan yang diwakili di Liga M mencapai beberapa kejayaan.

Issey merupakan antara pemain yang telah berjaya membantu pasukan Terengganu FC untuk kembali ke Liga Super pada tahun 2017.

Berbeza dengan Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) baru memulakan langkah pengambilan pemain-pemain kacukan ini sejak beberapa tahun yang lepas.

Hasil daripada tindakan tersebut, peningkatan kualiti jelas dapat dilihat berlaku dalam beberapa siri kejohanan.

Terbaru, kehadiran pemain kacukan Malaysia seperti Dion Cools, Corbin Ong dan Matthew Davies sebagai antara pemain utama Harimau Malaya telah membantu skuad negara untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Selepas ini, tindakan proaktif perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab untuk mengenal pasti bakat-bakat di luar negara yang semakin meningkat.

Hal ini untuk memastikan lebih ramai pemain kacukan berkualiti dapat dibawa untuk menyarung jersi kebangsaan.

Antara yang dilihat memiliki potensi yang besar adalah pemain kacukan Malaysia-Finland, Nooa Laine yang semakin mendapat perhatian di Liga Finland bersama pasukan SJK Seinajoki.

Laine semakin memperagakan aksi menyakinkan selepas berjaya menjaringkan gol pertama dalam saingan liga pada aksi menentang pasukan HIFK.

Beliau yang baru berusia 19 tahun, juga pernah menjaringkan gol sebelum ini pada aksi di pusingan kelayakan UEFA Europa Conference League (UECL) namun pasukannya tewas pada perlawanan tersebut di tangan Lillestrom SK dari Norway.

Pemain berkualiti seperti inilah yang akan membantu dan memberi kesan kepada masa depan pasukan kebangsaan dalam beberapa tahun mendatang.

Jejak langkah yang diambil oleh Jepun sejak sekian lama boleh dijadikan contoh terbaik dalam usaha memacu negara ke arah menjadi kuasa besar bola sepak bukan sekadar di Asia Tenggara tetapi di peringkat Asia.

Wakil negara di pusingan kalah mati ACL 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC akan bertemu dengan salah seorang pemain muda kacukan Jepun-Ghana, Zion Suzuki yang beraksi sebagai penjaga gol bersama pasukan Urawa Red Diamonds.

Suzuki merupakan salah seorang penjaga gol kacukan yang dimiliki oleh negara tersebut di samping pemain kacukan Jepun-Nigeria, Rei Okubo yang menyertai pasukan B-23 gergasi Portugal, Benfica pada tahun 2019.

Kualiti dan potensi yang ada pemain-pemain ini akan terus memberi kesan kepada kehebatan pasukan Jepun yang akan terus meningkat dari tahun ke tahun.

Malaysia perlu memanfaatkan lambakan pemain kacukan muda yang semakin meningkat di luar negara untuk menjadi prospek masa hadapan untuk menjulang Harimau Malaya ke peringkat yang lebih tinggi.