Pertukaran taktikal Nafuzi Zain berjaya bantu Terengganu FC benam Selangor FC

1,569

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain memberitahu bahawa beliau terpaksa membuat pertukaran taktikal pada perlawanan Liga Super menentang Selangor FC berikutan ramai pemainnya tidak cergas sepenuhnya.

Pertukaran taktikal itu membuahkan hasil apabila Terengganu berjaya benam Selangor 2-0 hasil jaringan Habib Haroon dan Manuel Ott pada separuh masa pertama.


“Syukur dengan rezeki 3 mata pada malam ini. Untuk perlawanan malam ini kita perlu mengubah sedikit taktikal dan disiplin dengan kondisi pemain yang tidak cergas. Kita tahu Selangor mahukan kemenangan kerana bermain di tempat sendiri.

Oleh itu, kita bermain berbeza sedikit dengan kita banyak bermain di bahagian tengah dan akan tunggu momen yang tepat untuk melakukan serangan,”

katanya.

Kebanyakkan pemain Terengganu tidak berada dalam keadaan cergas berikutan terpaksa mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat.

Nafuzi turut memberitahu beliau terpaksa mengeluarkan dua tonggak utama iaitu Faisal Halim dan Kpah Sherman berikutan masalah kecederaan sedikit.

“Untuk dua tiga perlawanan sebelum ini Faisal ada masalah demam sedikit dan pada malam ini dia berasa okay sedikit, jadi dia diturunkan. Manakala Kpah Sherman pula beritahu saya dia hamstring, jadi saya tidak mahu ambil risiko dan keluarkan kedua-dua mereka.”

Beliau bagaimanapun tidak bimbang kerana pemain muda yang dimasukkan berjaya mempamerkan aksi cemerlang.

Dalam pada itu, Nafuzi berkata dengan situasi pemainnya ketika ini, beliau berkemungkinan besar tidak dapat menurunkan barisan kesebelasan utama dalam dua perlawanan Liga Super akan datang iaitu menentang Sri Pahang FC pada 21 Ogos dan Melaka United FC pada 3 September.

Walaupun mereka akan berdepan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada perlawanan akhir Piala FA 10 September ini, Nafuzi enggan memikirkan mengenai perlawanan itu lagi buat masa ini sebaliknya mahu fokus pada perlawanan Liga Super terlebih dahulu.

Sementara itu, Nafuzi menyambut baik keputusan Malaysian Football League (MFL) yang telah mengumumkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) akan menjadi venue perlawanan akhir Piala FA pada 10 September ini.

“Bagi saya, saya sendiri mahu kami bermain di SNBJ, terutamanya untuk peminat kerana kita tahu SNBJ mempunyai kapasiti yang besar. Dengan Terengganu akhirnya kembali di pentas final selepas 11 tahun ia sudah pasti akan membuatkan peminat teruja untuk menyaksikan perlawanan itu.

Keadaan padang di SNBJ juga elok. Pasukan saya sudah pun pergi melihat sendiri keadaan padang, dan ianya berada dalam keadaan cukup baik.”