Manuel Ott mahu kekalkan momentum kemenangan hingga ke perlawanan akhir Piala FA

1,482

Pemain Terengganu FC, Manuel Ott gembira apabila pasukannya berjaya mengutip tiga mata penuh menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super malam tadi.

Menurut Manuel, walaupun pemain tidak cergas dek keletihan akibat terpaksa mengharungi banyak perlawanan, namun beliau memuji rakan sepasukannya yang tetap memberikan aksi terbaik.


“Ia adalah keputusan yang baik buat kami memandangkan kami terpaksa bermain dua perlawanan dalam tempoh seminggu dengan kebanyakan pemain dalam keadaan letih tetapi kami berjaya dapat keputusan positif pada malam ini,”

katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Terengganu berjaya benam Selangor 2-0 hasil jaringan Habib Haroon pada minit ke-13 dan Manuel pada minit ke-39.

Setelah berjaya mengutip mata penting selepas beberapa perlawanan gagal mendapat keputusan positif, pemain kebangsaan Filipina ini berharap mereka akan dapat mengekalkan momentum kemenangan menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 10 September depan.

“Sudah lama Terengganu tidak mara ke perlawanan akhir, jadi kami mahu teruskan momentum kemenangan dan berada dalam keadaan terbaik untuk mengharungi perlawanan akhir Piala FA 10 September depan.”

Dalam pada itu, Manuel turut memberi penghargaan buat peminat Sang Penyu yang sentiasa memberi sokongan padu buat mereka terutamanya pada perlawanan separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

“Peminat Terengganu sangat menakjubkan pada perlawanan separuh akhir Piala FA baru-baru ini dengan koreografi mereka dan saya tak sabar dan teruja nak melihat apa yang peminat akan buat pada perlawanan akhir Piala FA nanti.

Kami juga berjanji akan memberikan satu aksi persembahan yang terbaik buat peminat untuk cuba merangkul trofi nanti.”

Sementara itu, beliau menjadikan bermain di tempat lawan sebagai persiapan untuk perlawanan akhir Piala FA nanti berikutan ia turut akan dilangsungkan di venue berkecuali iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).