Sean akui masih sayangkan Selangor FC, tetapi syukur dapat lebih peluang di Negeri Sembilan FC

719

Walaupun bersyukur mendapat lebih banyak peluang bermain selepas berhijrah ke Negeri Sembilan FC daripada Selangor FC, Sean Selvaraj belum cukup berpuas hati dan mahu meningkatkan lagi prestasinya.

Beliau mengakui masih sayangkan Selangor tetapi fokusnya kini hanya terhadap Negeri Sembilan dan mahu membantu pasukan itu menamatkan musim di tangga teratas untuk melayakkan pasukan ke saingan Piala AFC 2023.


“Saya masih tidak berpuas hati lagi kerana masih belum dapat menjadi kesebelasan utama dengan kerap, jadi saya akan terus berusaha untuk pikat K. Devan (ketua jurulatih Negeri Sembilan).

Negeri Sembilan adalah tempat kelahiran saya jadi memang saya akan bermain bermatian-matian walaupun sampai berdarah untuk pasukan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sean, yang digelar ‘Seanaldo’ oleh fans, langsung tidak mempunyai dendam terhadap Selangor atau penyokongnya walaupun sering dikecam oleh penyokong Gergasi Merah dahulu.

Katanya, beliau tidak boleh menutup mulut orang ramai dan mengambil segala kritikan yang diberikan secara positif.

“Mungkin ketika itu penyokong tidak dapat menerima gaya saya, tetapi sebagai pemain profesional kita harus bersedia dari segi mental.

Memang ia tidak mudah kerana saya sayang Selangor, jadi saya ambil apa yang baik dan buang apa yang buruk.”

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan jaringan cantiknya menentang Selangor pada perlawanan Liga Super bulan lalu sebagai satu ‘mimpi buruk’ buat penjaga gol Selangor dan juga rakan baiknya, Sam Somerville.

Bagaimanapun, beliau berkata Somerville adalah seorang penjaga gol yang baik dan mengakui gol ‘ajaib’ tersebut memang sukar untuk diselamatkan oleh mana-mana penjaga gol.