Sean Selvaraj tak percaya ‘Sumpahan Puskas’, memang dah berlatih banyak kali jaringkan gol seperti menentang kelab lama, Selangor FC

1,974

Penyerang Negeri Sembilan FC, Sean Selvaraj tidak percaya dengan ‘sumpahan’ Anugerah Puskas yang mampu menenggelamkan karier penerimanya.

Karier pemain Penang FC, Mohd Faiz Subri seakan-akan merudum selepas memenangi anugerah itu pada tahun 2016.


Namun bagi pemain yang mendapat gelaran ‘Seanaldo’ itu, beliau percaya karier seseorang pemain ditentukan oleh usaha dan kerja keras yang ditunjukkan pemain itu sendiri.

“Saya tak percaya dengan sumpahan tersebut, saya tahu saya seorang pemain yang sentiasa bekerja keras untuk pasukan saya dan saya takkan berhenti bekerja sehinggalah saya capai apa yang saya mahu.

Apa-apa pun sekarang ini saya hanya biarkan FIFA untuk tentukan sama ada gol itu layak untuk disenarai pendek atau tidak tetapi saya bangga kerana bukan mudah untuk buat gol yang cantik di peringkat Malaysia dan Asia, apatah lagi dunia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau bagaimanapun mengakui gol yang dijaringkan oleh Faiz adalah satu dalam sejuta dan tidak boleh diulang lagi oleh sesiapa.

Dalam pada itu, beliau mengakui memang selalu berlatih sepakan jarak jauh seperti itu ketika sesi latihan bersama Negeri Sembilan.

Bekas pemain Selangor itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menunjukkan sokongan terhadap gol tersebut.

“Saya agak terkejut juga apabila gol itu diberi perhatian yang meluas, saya rasa ia adalah rezeki buat saya.

Jika disenarai pendek pun saya sudah cukup bangga kerana berjaya letakkan nama kelab dan juga negara di pentas antarabangsa.”

Sementara itu, beliau berkata fokusnya kini adalah untuk meningkatkan tahap permainannya sehingga terpilih mewakili skuad Harimau Malaya.

Beliau juga bertekad mahu melakukan apa saja bagi membantu Negeri Sembilan layak ke saingan Piala AFC musim depan.