Pengguguran sukan utama di SUKMA 2022 tidak masuk akal, bercanggah dengan matlamat utama kejohanan

4,313

Pihak penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 telah mengumumkan pengguguran beberapa sukan yang tidak akan dipertandingkan pada kejohanan tersebut September ini.

Menghairankan, tujuh acara yang dibatalkan merupakan acara yang dipertandingkan di Sukan Olimpik serta merupakan antara sukan utama di Malaysia.


Enam daripadanya adalah dari sukan trek dan padang yang dilihat memiliki prospek besar pada masa hadapan.

Lebih menyedihkan, keenam-enam sukan yang dibatalkan ini adalah bagi acara wanita ekoran daripada jumlah penyertaan yang tidak melepasi syarat ditetapkan oleh penganjur.

Pihak penganjur meletakkan syarat untuk sesebuah acara sukan dipertandingkan adalah dengan kehadiran sekurang-kurangnya enam kontinjen negeri yang mendaftar.

Pemilihan syarat ini mendapat reaksi dari pelbagai pihak yang melihat perkara ini sebagai tidak masuk akal dan akan menjejaskan perkembangan sukan-sukan ini di masa hadapan.

Ada segelintir yang turut mengatakan alasan kesemua acara ini digugurkan berkemungkinan besar berkait dengan faktor dana dan kewangan.

Apa pun maksud tersirat di sebalik keputusan ini, ia jelas merosakkan matlamat sebenar penganjuran SUKMA sebagai pemacu pembangunan atlet masa depan negara.

Ini juga boleh dikatakan sebagai penindasan kepada atlet-atlet wanita yang tidak dapat bertanding pada SUKMA kali ini.

Sedangkan acara-acara yang dibatalkan ini merupakan antara penyumbang utama kepada koleksi pingat emas yang berjaya dikutip oleh kontinjen negara di kejohanan-kejohanan utama seperti Sukan SEA.

Terdahulu, dua atlet wanita negara dari acara padang, Grace Wong dan Nor Sarah Adi berjaya merangkul emas bagi acara masing-masing selepas beraksi cemerlang di temasya Sukan SEA Hanoi.

Penetapan enam kontijen negeri ini sangat tidak munasabah dan bertentang dengan peraturan yang digunapakai di peringkat antarabangsa.

Sedangkan mana-mana acara di peringkat tertinggi hanya meletakkan syarat minimum sekurang-kurangnya tiga atlet berdaftar untuk sebarang pertandingan.

Pihak penganjur perlu bertanggungjawab memberi penjelasan yang lebih terperinci terhadap perkara ini dan tidak mengambil isu ini sebagai suatu hal remeh tatkala ia melibatkan masa depan atlet wanita negara.

Selain enam acara ini, sukan terjun juga turut menerima tamparan yang sama selepas lima acara terjun wanita turut digugurkan.

Acara ini adalah 1m papan anjal, 3m papan anjal, 10m platform, 3m papan anjal berirama serta 10m platform berirama.

Situasi ini mengecewakan seluruh penggemar sukan Malaysia di saat terjun merupakan antara acara yang sering ditunggu-tunggu.

Tambahan pula, pencapaian atlet terjun wanita negara di kejohanan antarabangsa cukup membanggakan.

Pada edisi Sukan SEA Hanoi, skuad terjun negara merupakan antara penyumbang emas terbesar untuk negara.  

Tidak kurang juga di Sukan Komanwel Birmingham 2022, pasukan ini telah berjaya menghadiahkan tiga pingat perak dan satu gangsa pada kejohanan tersebut.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) perlu melakukan pertimbangan sewajarnya mengenai perkara ini bagi memastikan perkembangan atlet-atlet negara dapat dicapai dan tidak dikaburi oleh kepentingan mana-mana pihak berkaitan.

Kembalikan SUKMA seperti sedia kala, jadikan pentas ini sebagai medium kepada atlet pelapis negara untuk memperagakan kemampuan mereka untuk bersaing di pentas tertinggi.