Pasangan beregu wanita Ukraine gembira berlatih di Malaysia, hadapi kesukaran namun gembira dengan pengalaman

1,733

Beregu wanita utama Ukraine, Yelyzaveta Zharka dan Mariia Stoliarenko nyata gembira dengan peluang yang diberikan kepada mereka bagi menjalani latihan di Malaysia.

Persekutuan Badminton Ukraine dengan kerjasama jurulatih, Salim Samion telah berusaha mencari tempat latihan sesuai di luar untuk beberapa orang pemain dari negara tersebut ekoran daripada pergolakan yang sedang berlaku.  


Kem latihan di Malaysia ini adalah untuk mempersiapkan mereka bagi menghadapi beberapa kejohanan utama termasuk Kejohanan Badminton Dunia yang akan bermula 21 Ogos ini.

Salim merupakan seorang jurulatih badminton dari Malaysia yang telah dilantik oleh Persekutuan Badminton Ukraine beberapa bulan lepas.

“Ini adalah pertama kali bagi kami berlatih di Asia dan ia adalah sangat sukar tetapi juga sungguh menarik berbanding pengalaman kami di Eropah dan Ukraine.

Corak badminton Asia ada sedikit berbeza dan cuaca di Malaysia sangat panas untuk kami, tetapi saya amat gembira dengan pengalaman ini,”

kata Zharka kepada Harimau Malaya.

Pengalaman yang dimiliki oleh Salim selaku bekas jurulatih Kelab Badminton Nusa Mahsuri serta pernah melatih beberapa negara sebelum ini jelas membantu pasangan ini.

Pendekatan yang digunakan beliau memberi keselesaan kepada para pemain Ukraine terutamanya Zharka.

Corak latihan seperti ini sedikit sebanyak mempengaruhi peningkatan kualiti permainan yang ditunjukkan oleh Zharka dan Stoliarenko.

“Saya meminati kaedah latihan coach (Salim) kerana beliau dekat dengan para pemain.

Coach memberikan perhatian kepada semua pemain dan tidak memilih kasih kepada mana-mana pemain.” kata Stoliarenko.

Dalam pada itu, kedua-dua pemain ini akan terus mempersiapkan diri bagi menghadapi perlawanan pertama di kejohanan berprestij ini.

Mereka telah dijadual bertemu pasangan di ranking ke-38 dunia dari Belanda, Cheryl Seinen dan Debora Jille di pusingan pertama.

Tidak ingin mengingati kekecewaan sebelum ini, mereka melihat pertembungan ini adalah peluang terbaik untuk membalas dendam kembali memperoleh kemenangan.

“Kami pernah bertemu mereka di Indonesia sebelum ini dan kami tewas tetapi kami akan cuba berikan yang terbaik.

Semoga pengalaman di Asia dapat membantu kami memberi aksi yang baik dan memperoleh keputusan yang diinginkan serta menang,” kata Stoliarenko.

Pasangan yang berada di ranking ke-63 dunia ini perlu terus mempamer kebangkitan bagi membolehkan mereka terus memperbaiki kedudukan ranking.

Pada aksi terakhir di kejohanan Terbuka Singapura, mereka berjaya mara sehingga ke pusingan 16 terbaik sebelum tewas di tangan pasangan dari China, Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting.