Ibarat gelandangan berbekal sebuah beg, Yelyzaveta Zharka dan Mariia Stoliarenko hanya ingin pulang ke Ukraine
Pasangan beregu wanita Ukraine, Yelyzaveta Zharka dan Mariia Stoliarenko berharap agar peperangan yang terjadi di antara negara tersebut dan Rusia dapat segera ditamatkan.
Kedua-dua atlet ini turut terjejas dengan isu ini sehingga memaksa mereka untuk berkelana ke luar negara untuk mencari tempat tinggal yang lebih selamat dan terus berlatih menjelang aksi di Kejohanan Badminton Dunia 2022 yang akan berlangsung di Tokyo, Jepun.
Zharka menyatakan kesedihan beliau selepas meninggalkan keluarganya di tempat kelahirannya, Zharkiv yang terjejas teruk.
“Kami rindukan kebebasan di negara kami, kami ingin selamatkan kemerdekaan negara kami serta ingin selamat di tempat kami.
Kami kini berasa seperti seorang gelandangan berbekalkan sebuah beg dan merantau ke sana sini tidur ini selepas hampir setengah tahun meninggalkan Ukraine,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Kehampaan jelas terpancar pada riak wajah atlet Ukraine ini yang telah sekian lama tidak dapat kembali ke pangkuan keluarga mereka selepas peperangan tersebut meletus.
Stoliarenko juga berharap agar isu ini tidak dilupakan dan terus diberi perhatian oleh orang ramai terhadap segala kerosakan dan kekejaman yang berlaku sepanjang perperangan yang masih berlangsung ini.
“Harap semua orang di seluruh dunia dapat terus memberi sokongan kepada Ukraine, tidak berhenti bercakap tentang perkara ini kerana kami hanya ingin semua ini berakhir.
Semua orang berhak mendapatkan kebebasan dan hidup seperti biasa.”
Walaupun berhadapan dengan situasi yang mencabar, kedua-dua mereka tidak terputus hubungan sepenuhnya dengan ahli keluarga.
Komunikasi ini menjadi antara motivasi dan pembakar semangat kepada atlet ini untuk terus memberi yang terbaik dan berusaha memperbaki aksi di kejohanan-kejohanan mendatang terutama sekali Kejohanan Dunia.
“Kami sering berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan di Ukraine untuk mendapat perkembangan terkini tentang keadaan mereka di sana, keadaan rumah dan sebagainya.
Setiap kali bangun, kami ingin tahu tentang bagaimana situasi malam sebelumnya, adakah keluarga saya masih hidup dan dalam keadaan yang baik.”
Walaupun berada jauh dari keluarga, peluang beraksi di Malaysia merupakan kelebihan yang besar kepada mereka kerana badminton Asia berbeza dengan corak permainan di Eropah.
Ilmu yang diperoleh sepanjang berlatih bersama jurulatih, Salim Samion dari Malaysia dapat menambahkan kualiti permainan mereka untuk lebih bersedia berhadapan dengan lawan mencabar dari negara Asia seperti Indonesia, China dan Korea Selatan.
Pengalaman dan pengetahun ini juga boleh digunakan oleh mereka dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain dan terus meningkatkan lagi kualiti badminton di Ukraine.
“Keluarga saya juga menyokong keputusan ini walaupun saya pada mulanya tidak ingin berjauhan dari mereka di saat yang sukar ini.
Tetapi untuk menjadi seorang pemain dan jurulatih yang baik, saya perlu terus berkembang dan mencari pengalaman.” kata Stoliarenko.
Zharka juga telah mula berkecimpung sebagai seorang jurulatih dari tahun 2016 dan kini memiliki sekumpulan pelajar di bawah bimbingannya.
Zharka dan Stoliarenko yang telah melakukan persiapan rapi bersama Salim di gelanggang badminton Dewan Sukan Klang akan berangkat pada hari ini ke Tokyo untuk bersaing di Kejohanan Badminton Dunia 2022.
Zharka-Stoliarenko dijadual bertemu pasangan dari Belanda, Cheryl Seinen dan Debora Jille di pusingan pertama.
Pasangan ini turut beraksi dalam dua kejohanan yang diadakan di Malaysia pada tahun ini, Terbuka Malaysia dan Malaysia Masters namun tewas di pusingan awal.