Salim Samion jadikan Datuk Misbun Sidek sebagai teladan, tunjukkan sisi baik masyarakat Malaysia kepada dunia

1,079

Jurulatih skuad badminton Ukraine, Salim Samion menjadikan pengalaman bertahun bersama legenda negara, Datuk Misbun Sidek sebagai contoh ikutan dalam menjadi seorang jurulatih yang baik dan berkualiti.

Salim yang telah dilantik oleh Persekutuan Badminton Ukraine pada tahun 2021 telah berjaya menggalas tugas yang diberi dengan baik meskipun hanya berada di negara tersebut lima bulan sahaja ekoran daripada peperangan yang meletus.


Tambahan pula, hasil usaha yang dilakukan oleh beliau jugalah yang berjaya mendapatkan tempat latihan baru untuk pemain-pemain ini terus mencari rentak kecemerlangan.

“Saya mula bermain sukan ini di bawah legenda badminton negara, Datuk Misbun jadi saya tengok cara dia untuk menjaga pemain-pemain.

Sampai sekarang, saya cuba lakukan perkara tersebut walaupun belum mencapai tahap sehebat beliau, tetapi saya tetap bersyukur,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Jurulatih berasal dari Ipoh, Perak itu bertanggungjawab melatih tujuh orang pemain Ukraine selama dua bulan sepanjang mereka berada di Malaysia.

Enam daripada mereka akan bertanding di Kejohanan Badminton Dunia 2022 yang akan berlangsung pada 21 Ogos ini di Tokyo, Jepun.

Manakala, seorang daripada mereka merupakan pemain perseorangan wanita remaja No.1 Eropah, Polina Buhrova yang bertanding di Kejohanan Remaja Eropah 2022.

Selain melatih para pemain ini, Salim juga bertanggungjawab dalam menyediakan tempat tinggal kepada kesemua atlet ini yang telah berada di Malaysia lebih kurang dua bulan.

Tindakan Salim ini jelas menggambarkan keluhuran dan budi pekerti rakyat Malaysia yang sentiasa membuka pintu menerima kehadiran tetamu luar.

“Matlamat utama saya adalah untuk orang luar melihat orang Malaysia sebagai insan yang bertanggungjawab.

Perkara ini berlainan dengan budaya di negara Eropah yang lebih menekankan individu berbanding orang lain.”

Salim turut berada di Ukraine ketika peperangan mula meletus di antara negara tersebut dengan jiran, Rusia.

Namun, keadaan itu tidak mematahkan semangat jurulatih berusia 43 tahun ini bagi menyambung tanggungjawab kepada negara tersebut serta menjadikan kejayaan pemain-pemain sebagai matlamat utama beliau ketika ini.

Salim akan bergerak ke Tokyo bagi sama-sama memberi semangat kepada para pemain bimbingan beliau bagi menghadapi cabaran di kejuaraan dunia.

Selain bersama Ukraine, Salim juga berpengalaman luas di peringkat badminton Eropah kerana pernah dilantik sebagai salah seorang anggota kejurulatihan Persatuan Badminton Denmark.

Pengalaman yang dimiliki oleh beliau ini akan menjadi kelebihan yang perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh para pemain skuad Ukraine untuk terus mempertingkatkan kualiti dalam usaha menjadi antara kuasa besar badminton Eropah.