Malaysia miliki ramai jurulatih badminton berkualiti tinggi namun tidak peroleh peluang yang mencukupi – Salim Samion

376

Jurulatih badminton pasukan kebangsaan Ukraine, Salim Samion mengakui kehebatan barisan jurulatih yang dimiliki oleh Malaysia pada ketika ini.

Beliau juga melihat ada sebilangan daripada mereka yang berkualiti namun kurang dikenali oleh para peminat sukan ini.


Ketika ini, semakin ramai jurulatih daripada Malaysia terus mendapat perhatian daripada negara luar.

Sebagai contoh, Lim Pek Siah yang berjaya membawa pasangan beregu campuran Singapura untuk merangkul pingat emas di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 baru-baru ini.

“Sebenarnya Malaysia mempunyai ramai jurulatih berbakat selain daripada yang sudah dikenali seperti Tan Kim Her dan Jeremy Gan.

Ada yang sudah mencapai tahap yang jauh lebih tinggi daripada jurulatih yang berada di luar negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Namun, antara penyebab yang dilihat menghalang kepada pembangunan jurulatih-jurulatih ini adalah peluang yang kurang dan tidak sama rata terhadap mereka.

Ada juga yang disingkirkan selepas gagal mencapai kemenangan atau kejuaraan selepas beberapa bulan menggalas tugas sebagai jurulatih.

Ketidakadilan ini memberi kesan yang cukup besar sehingga menjejaskan proses pembangunan lebih ramai jurulatih berkualiti dari negara ini.

“Cuma kadang-kadang peluang untuk buktikan belum dapat diperolehi oleh kesemua jurulatih ini ataupun waktu yang diberikan terlalu singkat.

Badminton adalah satu proses panjang, kita tidak boleh ambil seorang pemain dan jadikan dia seorang juara dalam dua tiga bulan.”

Perkara yang sama turut berlaku kepada pembangunan pemain, tempoh singkat yang diberikan oleh kesemua pihak bagi seseorang pemain mencapai kejayaan telah meletakkan bebanan yang cukup tinggi.

Sehingga ada pemain yang terus tercicir dan terkeluar dari landasan meskipun masih berada di usia yang muda serta mempunyai potensi diri yang cukup besar.

“Proses peningkatan pemain ini perlu dijalankan dalam masa yang panjang, tidak boleh terlalu singkat.

Ini kerana pemain memiliki pemikiran dan perasaan yang perlu dikawal dengan baik oleh jurulatih bagi membantu perkembangan mereka.”

Setakat ini, Salim belum berkesempatan dilantik sebagai salah seorang jurulatih negara di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Walau bagaimanapun, keberanian beliau untuk terus melangkah ke luar negara mengumpul pengalaman perlu diberi pujian.

Sudah semestinya untuk beberapa tahun mendatang, khidmat beliau akan ditagih untuk memperkuatkan lagi barisan kejurulatihan BAM yang dilihat belum berjaya mencapai tahap yang diinginkan oleh semua pihak.