KL City FC miliki peluang 51% menentang PSM Makassar di Piala AFC, Bojan Hodak seru peminat penuhkan stadium

449

Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak yakin dengan kemampuan anak buahnya di aksi final Piala AFC 2022 Zon ASEAN menentang PSM Makassar dari Indonesia.

Perkara ini semakin diperkuatkan lagi dengan kemenangan tipis 1-0 anak buahnya ke atas Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super malam tadi.


Namun, beliau tetap berharap kecemerlangan The City Boys pada beberapa siri perlawanan sebelum ini berjaya membuka mata peminat untuk kembali membanjiri stadium.

“Peluang kami adalah 51% kerana kami bermain di tempat sendiri, saya cuma berharap stadium akan penuh pada hari tersebut.

Sebelum ini, PSM Makassar datang dengan jumlah peminat yang agak baik pada perlawanan terakhir,”

katanya.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur Cheras, penjaga gol, Kevin Ray Mendoza telah mempamerkan aksi cukup menyakinkan selepas berjaya menepis beberapa percubaan merbahaya dari pemain Jang Hobin sepanjang 90 minit perlawanan.

Namun, aksi cemerlang ini belum mampu mempengaruhi pemilihan yang bakal dilakukan oleh Hodak pada aksi seterusnya di peringkat Asia.

Ini kerana beliau lebih gemar menggunakan khidmat seorang lagi penjaga gawang, Azri Ghani yang telah diturunkan sebanyak dua kali sepanjang tiga perlawanan di Piala AFC musim ini.

Pemain berusia 23 tahun tersebut muncul wira pasukan selepas berjaya menghalang sepakan penalti dari pemain kelab Vietnam, Viettel FC untuk membawa pasukan itu ke perlawanan akhir.

Pengendali berasal dari Croatia ini akan menggunakan baki masa yang ada ini untuk melakukan persiapan dan pemilihan pemain sebaiknya bagi memastikan skuad yang dipilih mampu memberi cabaran kepada pasukan lawan.

“Saya tidak mempunyai jawapan tentang pemilihan penjaga gol buat masa ini, kami masih mempunyai baki lima hari sebelum perlawanan.

Bila kami latihan mungkin ada pemain yang akan cedera jadi terlalu awal untuk bercakap.”

Dalam pada itu, Hodak tidak berasa terlalu terkesan dengan keputusan-keputusan yang dilakukan oleh pengadil pada malam ini.

Beliau yang sering dilihat bertelagah dengan pengadil menerima kesemua keputusan pengadil sebagai adat permainan.

“Saya mempunyai masalah dengan pengadil sepanjang hidup saya, jika saya rasa keputusan pengadil bercanggah dengan pendapat saya perkara itu adalah lumrah dalam permainan ini.

Tanpa emosi, bola sepak adalah sukan yang bosan tanpa hiburan.”