Azri Ghani gembira diberi peluang beraksi di Piala AFC, janji bersedia sepenuhnya jika sekali lagi dipilih
Penjaga gol Kuala Lumpur City FC, Azri Ghani ternyata gembira dengan pencapaian beliau mewakili The City Boys di Piala AFC musim ini.
Berdasarkan kuota pemain import yang ditetapkan oleh pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), beliau dipilih oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak bagi mengisi tempat penjaga gawang utama, Kevin Ray Mendoza untuk memberi lebih pilihan import di bahagian hadapan dan tengah.
Situasi ini membuka peluang yang besar kepada pemain muda ini untuk membuktikan kemampuan di pentas tertinggi.
“Mestilah saya bersedia walaupun saya kurang bermain di Liga Super, untuk diturunkan bertemu dengan pasukan yang besar seperti ini adalah peluang terbaik kepada saya,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Pada masa yang sama, Azri tetap percaya dengan kemampuan pasukannya untuk terus melangkah dengan lebih jauh di kejohanan ini.
Tambahan pula, pasukan KL City berada di momentum terbaik selepas berjaya melakukan kejutan ke atas kelab gergasi Vietnam, Viettel FC di peringkat separuh akhir Piala AFC 2022 Zon ASEAN sebelum ini.
Azri juga telah diturunkan pada aksi pertama menentang PSM Makassar di peringkat kumpulan yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
“Pasukan PSM Makassar kita pernah bermain, jadi saya rasa tiada masalah untuk kita pada perlawanan tersebut.
Kita sudah tempuh beberapa perlawanan Piala AFC, perlawanan sebelum ini kita sedikit merudum tetapi mungkin dengan adanya aura perlawanan akhir akan memberi semangat kepada para pemain.”
Penjaga gol skuad B-23 negara ini perlu membalas kepercayaan yang diberikan ini dengan sebaiknya meskipun kurang diturunkan pada aksi Liga Super.
Selepas 15 perlawanan Liga Super, Azri masih belum pernah diturunkan pada musim ini selain beraksi di saingan Piala FA menentang Langkawi City FC.
Azri berjaya membantu pasukan KL City menang besar 8-0 pada perlawanan tersebut.