Kami terpaksa main ‘long ball’ kerana KL City FC terlalu kompak di bahagian tengah – K. Devan
Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan mengakui pasukannya terpaksa bermain hantaran jauh kerana ruang yang kompak di bahagian tengah yang dipenuhi oleh pemain KL City FC.
Menurutnya, walaupun kecewa dengan kekalahan 1-0 pada aksi Liga Super itu, beliau berpuas hati dengan persembahan dan semangat anak buahnya untuk mendapatkan gol penyamaan.
KL City berjaya menewaskan Negeri Sembilan menerusi tandukan Paolo Josue pada minit ke-45.
Kekalahan itu menyaksikan Negeri Sembilan kekal di tangga ketiga liga, tiga mata di belakang Sabah FC.
“Kami sepatutnya jaringkan gol dan saya rasa kalau kami berjaya dapatkan satu mata hari ini saya dah berpuas hati.
Dari segi corak permaian permainan kita tiada perbezaan dengan perlawanan-perlawanan sebelum ini menentang pasukan lain,”
kata Devan.
Beliau menganggap anak buahnya bermain dengan lebih baik pada separuh masa pertama tetapi kelalaian ketika mempertahankan serangan set piece menyebabkan mereka bolos.
Selain itu, Devan juga merasakan bahawa barisan serangannya tidak begitu tajam walaupun mempunyai empat peluang emas untuk menjaringkan gol.
“Saya rasa kami cipta banyak masalah buat KL City dan kami tekan mereka pada minit-minit akhir tetapi tiada rezeki untuk jaringkan gol.
Saya lihat KL City bermain dengan cermat, mereka tidak begitu bersungguh-sungguh menyerang kerana mungkin mereka mahu ‘hold’ perlawanan pada separuh masa pertama.”