Boon Aik Hau optimis Armed Forces FC sukar untuk tersingkir sekiranya bermain di Liga Super

602

Ketua jurulatih Armed Forces FC, Boon Aik Hau merasakan bahawa tahap pasukannya tidak jauh beza dengan pasukan Liga Super dan bersedia bersaing sekiranya layak musim depan.

Beliau mengakui boleh bersaing dengan beberapa pasukan Liga Super seperti PJ City FC tetapi perlu memperkuatkan lagi pasukan untuk menyaingi pasukan-pasukan besar.


“Kalau nak menang Liga Super tu tidaklah tetapi saya rasa agak sukar juga untuk kita tersingkir, mungkin kita boleh berada di kedudukan pertengahan.

Secara peribadi memang saya nak naik ke Liga Super, sebab itulah kita berada di suku akhir Liga M3 ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurutnya, sekiranya mereka layak ke Liga Super, beliau akan melihat kepada kemampuan kewangan pasukan sebelum membuat keputusan untuk membawa masuk pemain import atau tidak.

Dalam pada itu, beliau berkata, persediaan untuk menantang BRM FC pada perlawanan suku akhir Liga M3 berada dalam keadaan yang baik dan tidak banyak perubahan dilakukan daripada segi taktikal.

Beliau juga mengakui ada membuat kajian mengenai pasukan lawan yang rata-ratanya dibarisi oleh bekas pemain Liga Super.

“Kita tahu BRM adalah sebuah pasukan yang baik dan mereka mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.

Di atas kertas memang kita tak boleh lawan pengalaman mereka tetapi dari segi ilmu kita belum tahu lagi, perasaan berdebar tu memang ada tetapi saya lihat para pemain semua dah bersedia.”

Perlawanan suku akhir pertama antara Armed Forces dan BRM akan berlangsung di Padang Mindef pada Sabtu ini.