Atlet olahraga bersara berjemaah tahun 2022
Bersara di puncak karier merupakan impian semua atlet negara.
Bagaimanapun, keputusan yang dibuat itu mungkin akan meninggalkan kesan yang besar jika tiada perancangan yang rapi.
Tidak mustahil, atlet-atlet ini akan ‘merempat’ di negara sendiri jika tidak membuat persediaan yang secukupnya.
Ramai yang berniaga selepas bersara tetapi perniagaan mereka tidak berjaya.
Ada juga yang kembali daripada persaraan untuk mewakili negara selepas gagal dalam bidang yang mereka ceburi.
Sudah pasti keputusan ini tidak hanya memberi kesan kepada diri atlet itu sendiri tetapi turut melibatkan persatuan dan negara.
Negara akan kehilangan ‘permata’ yang berharga ketika masih tercari-cari pengganti sesuai untuk mengisi kekosongan itu.
Itu perkara yang perlu diberi perhatian Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas beberapa atlet menyuarakan hasrat untuk bersara pada tahun 2022 terutamanya sebaik tamat Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam pada awal Mac tahun depan.
Atlet 110 meter (m) lari berpagar kebangsaan, Rayzam Shah Wan Sofian mendedahkan baru-baru ini bahawa dia berkemungkinan besar akan bersara selepas berakhirnya temasya sukan berprestif di Asia Tenggara itu.
Temasya dwitahunan itu akan menjadi pentas terakhir buat dirinya untuk menyumbangkan pingat kepada negara.
Bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan sama ada dia layak atau tidak ke Sukan Komanwel mahupun Sukan Asia.
Rayzam, 33, sudah dua kali memenangi pingat emas Sukan SEA iaitu pada edisi 2007 di Thailand dan 2017 di Kuala Lumpur.
Dia turut meraih empat perak ketika di Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2015) serta Filipina (2019).
Kehebatan atlet dari Sabah itu masih tidak tercabar di peringkat domestik dengan rekod kebangsaan miliknya menerusi catatan 13.67s masih bertahan hingga ke hari ini sejak melakukannya di Weinhem, Jerman pada 2017.
Turut menyuarakan keinginan untuk bersara ialah jaguh lompat tinggi kebangsaan, Lee Hup Wei.
Hup Wei, 34, menamatkan kemarau lapan tahun tanpa emas pada edisi 2019 di Manila, Filipina.
Dia memasang impian untuk bersara itu jika berjaya mempertahankan pingat emas dan memperbaharui rekod baharu Sukan SEA.
Dia berazam untuk membuat lompatan sejauh 2.25 meter (m) dan ke atas, sekali gus memecahkan rekod temasya miliknya iaitu 2.24m yang dilakukan di Kuala Lumpur 2017.
Atlet kelahiran Kajang itu memaklumkan faktor umur yang kian meningkat mendorong dia berbuat demikian.
Turut memberi bayangan untuk bersara adalah atlet pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad.
Siti Fatimah masih bercita-cita untuk melakar kejayaan pada Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia pada tahun depan.
Namun, pada usia 35 tahun, tidak banyak yang boleh dilakukannya.
Siti Fatimah berjaya membantu kuartet 4x100m wanita negara memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA 2015.
Keputusan beberapa atlet berpengalaman ini untuk bersara bakal memberi satu tamparan yang hebat kepada KOM.
Ketika program pembangunan atlet pelapis masih belum menunjukkan kemajuan, persaraan atlet berpengalaman secara beramai-ramai ini akan menyebabkan jurang yang besar kepada barisan atlet olahraga negara.