Datuk K. Rajagobal mungkin dilantik ketua jurulatih Selangor FC yang baru?

1,113

Selepas Michael Feichtenbeiner dilepaskan sebagai ketua jurulatih Selangor FC susulan prestasi hambar, penolongnya iaitu Nidzam Jamil telah mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih interim berkuatkuasa serta merta.

Bagaimanapun percaturan itu masih belum membuahkan hasil apabila perlawanan pertama dibawah kendalian Nidzam, skuad Gergasi Merah tumbang di tempat sendiri ketika menentang Terengganu FC baru-baru ini.


Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu juga menyaksikan peminat UltraSel telah membentang kain rentang dan mengangkat sepanduk-sepanduk berbaur sinisan kepada pihak pengurusan Selangor.

Tidak cukup dengan kain rentang dan sepanduk, UltraSel juga bertindak menyanyi chant mengkritik pasukan yang tidak berjaya memperoleh sebarang keputusan positif selama empat tahun dan menuntut rombakan drastik dilakukan.

Selangor kini sudah pastinya sedang mencari pengganti Feichtenbeiner yang mana peminat mula melontarkan beberapa nama calon yang dirasakan sesuai untuk memulihkan semula prestasi antaranya bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, bekas pengendali Selangor sendiri iaitu Mehmet Durakovic dan bekas ketua jurulatih Liga Perdana Singapura (SPL), Lion City Sailors FC iaitu Kim Do-hoon.

Mungkin ramai yang akan bersetuju jika Cheng Hoe dipilih kerana beliau mempunyai pengalaman dalam mengendalikan pasukan bermasalah dan ia telah terbukti apabila beliau mengambil alih pasukan Kedah pada tahun 2014.

Ketika itu Sang Kenari dalam situasi parah jatuh ke Liga Perdana dan hasil sentuhan Cheng Hoe, pasukan Hijau Kuning kembali menjadi gergasi.

Manakala Durakovic kerana beliau sebelum ini pernah mengendalikan pasukan Selangor pada tahun 2013 hingga 2015 yang menyaksikan Selangor berjaya menjadi naib johan Liga Super tiga musim berturut-turut dan merangkul trofi Piala Malaysia pada tahun 2015.

Kehebatan Kim Do-hoon tidak boleh disangkal lagi kerana beliau mempunyai rekod yang cukup cemerlang di peringkat tertinggi Asia yang mana beliau bukan sahaja pernah mengendalikan pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai, malah beliau berjaya membawa pasukan itu merangkul kejuaraan AFC Champions League (ACL) pada tahun 2020.

Beliau kemudian berhijrah ke Singapore Premier League (SPL) bersama Lion City Sailors dan berjaya membawa pasukan itu menjuarai saingan liga. Do-hoon bagaimanapun telah mencapai kata sepakat dengan pasukan itu untuk tamatkan kontrak lebih awal.

@ismailhjharon #selangorfc #terengganufc #hariharimainbola💪⚡😁 #fyp #mfl ♬ original sound – maelhjharon

Disebalik ketiga-tiga nama ini, ada satu lagi nama yang berkemungkinan besar akan sertai Selangor iaitu Datuk K. Rajagobal kerana sejak baru-baru ini kelibatnya kelihatan pada perlawanan Selangor menentang Terengganu yang memperlihatkan beliau berada di belakang Presiden FAS yang juga Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah.

Semua sedia maklum bahawa Rajagobal telah pun melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Brunei pada hujung Januari lalu dan sudah pasti beliau sedang mengintai untuk kembali dalam Liga Malaysia.

Beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bola sepak Malaysia yang mana beliau bukan sahaja pernah mengendalikan pasukan di Liga Super, tetapi juga skuad kebangsaan.

Hasil sentuhan Rajagobal dalam skuad kebangsaan, beliau berjaya menamatkan kemarau panjang di Sukan SEA apabila berjaya meraih pingat emas. Beliau juga telah berjaya membawa skuad Harimau Malaya merangkul kejuaraan Piala AFF 2010 dalam aksi yang hebat dan masih lagi menjadi bualan ramai sehingga ke hari ini.

Keempat-empat nama ini mempunyai kredibiliti, pengalaman dan kejayaan yang cukup menakjubkan, jadi ia sudah pasti akan membuat pengurusan Selangor perlu fikir semasak-masaknya sebelum pilih ketua jurulatih yang baru.