Sudah terhantuk baru tengadah, terlalu lewat untuk ratapi kehilangan Syafiq Ahmad

10,137

Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin dilihat mula merasai kehilangan pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Syafiq Ahmad yang sebelum ini jelas memperkuat barisan serangan pasukan di awal musim.

Perkara ini diperakui sendiri oleh pengendali berasal dari Singapura itu pada sidang media selepas tamat perlawanan Liga Super menentang Sabah FC.


Sehingga ke hari ini, masih tiada jawapan yang sebenar dari pihak JDT dalam menjelaskan sebab dan alasan pembatalan pinjaman secara mengejut itu berlaku, namun telah wujud spekulasi yang dilihat kukuh dan berasas.

Ramai penyokong melihat isu ‘tokong’ dalam Liga Malaysia yang dibangkitkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan tersebut.

Walau bagaimanpun, sudah terlalu lambat untuk menangisi perkara ini tatkala ‘nasi sudah menjadi bubur’ dan Aidil kini sedang menghadapi kesukaran mencari penyudah di bahagian hadapan.

Kehilangan ini jelas dirasai apabila pasukan ini dilihat bergelut mencari jaringan dalam setiap perlawanan selepas Syafiq pergi meninggalkan pasukan.

Walaupun mempunyai penyerang import, Ronald Ngah Wanja yang kini menggalas tanggungjawab sebagai penyerang utama, kehadiran beliau belum dapat memberikan impak sepenuhnya seperti yang diinginkan oleh peminat.

Terdahulu, Aidil telah kehilangan seorang penyerang import dari Thailand, Dennis Buschening yang dilepaskan ekoran daripada kecederaan yang dialaminya di awal musim.

Lebih mendukacitakan, ketumpulan di bahagian hadapan telah menyebabkan pasukan ini semakin terumbang-ambing dalam beberapa siri perlawanan terakhir.

Setelah tersungkur awal di saingan Piala FA, Kedah tampak kurang menyakinkan selepas hanya memperoleh satu kemenangan dan tiga kekalahan dari lima perlawanan terakhir Liga Super.

Keputusan seri menentang pasukan di tangga kedua, Sabah FC sedikit menunjukkan kebangkitan namun perkara ini perlu terus dipertingkatkan dengan segera.  

Aksi hambar ini juga turut menyebabkan perjalanan pasukan di Piala AFC musim ini terhenti selepas kekalahan ke atas wakil tunggal dari Indonesia, PSM Makassar.

Aidil tidak boleh terus mengenang pemergian Syafiq malah perlu segera mencari solusi terbaik dalam memperbaiki dan menajamkan kembali barisan serangan pasukan kendaliannya.

Pada masa yang sama, bukan hanya pasukan Kedah yang terjejas dengan perkara ini, Syafiq sendiri sebagai pemain yang terlibat turut menerima tamparan hebat.

Beliau yang sebelum ini cemerlang bersama pasukan kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Asia 2023 terus menyepi dan menghilang selepas kurang diturunkan di JDT.

Lambakan pemain berkualiti di kelab tersebut menyebabkan Syafiq sedikit terpinggir, beliau hanya beraksi untuk tiga perlawanan Liga Super buat masa ini selepas kembali ke pangkuan kelab asalnya.

Perkara ini sedikit menggusarkan kerana semasa di Kedah, pemain berusia 27 tahun ini berjaya menunjukkan taringnya dengan aksi-aksi yang cukup bertenaga sepanjang sembilan perlawanan.

Sehingga ke hari ini, Syafiq kekal sebagai pemain yang paling banyak menyumbang assist kepada pasukan Kedah.

Beliau perlu mencari alternatif dalam mendapatkan kembali minit permainan beliau bagi membantu mengekalkan kecemerlangannya selaku penyerang pasukan Harimau Malaya.

Syafiq dilihat berpeluang cerah untuk kembali menyinar sekiranya beliau kembali dipinjamkan ke pasukan lain.

Sudah terbukti sebelum ini, jumlah perlawanan yang mencukupi akan kembali melonjakkan pemain tersebut untuk berada di prestasi terbaik.

Kelab-kelab yang kekurangan penyerang berbisa boleh berkira-kira untuk mendapatkan khidmatnya dalam saingan musim depan berdasarkan kontrak beliau yang hanya berbaki sehingga November ini sahaja.

Dalam pada itu, situasi ini boleh dijadikan iktibar kepada semua pihak yang terbabit agar tidak melakukan sebarang tindakan yang mampu memberi kesan kepada persembahan pasukan.

Penyesalan yang berlaku di kemudian hari hanyalah suatu yang sia-sia dan tidak akan mengubah keputusan yang dilakukan.

Barisan kejurulatihan Kedah dan pihak pengurusan perlu kembali bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menjulang pasukan ini kembali menjadi salah sebuah pasukan yang digeruni.