Selangor FC sedang ‘berantakan’, peluang Perak FC sambar beberapa pemain untuk kuatkan pasukan

5,285

Pada awal musim ini, harapan Perak FC untuk kembali ke saingan Liga Super musim depan nampak seakan-akan mustahil selepas melalui detik sukar dipotong mata serta prestasi yang tidak memberangsangkan.

Namun, dengan pengumuman Malaysian Football League (MFL) mengenai penstukturan semula liga musim depan mereka kini berpeluang cerah untuk kembali ke liga tertinggi bola sepak negara itu.


Namun dengan skuad sedia ada ketika ini, mungkin sukar untuk Perak memberi saingan dalam Liga Super kerana prestasi mereka dalam Liga Perdana musim ini juga tidak menentu.

Perak sudah tewas sembilan perlawanan musim ini dan hanya mampu mencatatkan lima kemenangan daripada 15 perlawanan

Sekiranya kembali ke Liga Super, sudah tentu rombakan pasukan perlu dilakukan oleh Perak bagi mengembalikan status mereka sebagai salah sebuah kelab besar di negara ini.

Seperti Perak, Selangor FC juga mengharungi musim yang buruk dalam saingan Liga Super musim ini.

Cuma dari segi pengurusan, penyokong Perak memberi kepercayaan kepada pihak atasan kelab manakala penyokong Selangor pula sebaliknya.

Penyokong Selangor juga sebelum ini pernah tular gara-gara memarahi para pemain mereka walaupun selepas menang.

Ini adalah satu situasi yang boleh dimanfaatkan oleh Perak untuk menyambar beberapa bintang Selangor bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi Liga Super.

Pemain-pemain yang pernah bermain dengan Perak seperti Brendan Gan dan Shahrel Fikri mungkin terbuka hati untuk kembali semula ke Ipoh, Perak, lebih-lebih lagi Shahrel yang jarang mendapat peluang bersama Selangor.

Para penyokong juga sudah tentu akan menyambut kedua-dua pemain itu dengan tangan terbuka kerana pernah menampilkan aksi hebat bersama Perak sebelum ini.

Selain itu, penjaga gol yang kini semakin dipinggirkan, Khairulazhan Khalid juga boleh dipertimbangkan untuk menyertai Perak.

Beliau mampu menyumbang pengalaman yang dimilikinya di bahagian gawang Perak yang sudah 24 kali dibolosi musim ini.

Dua pertahanan muda, ‘Afro’ Shahrul Nazeem dan Harith Haiqal juga merupakan pemain yang sudah pasti mampu menaikkan pasukan Perak sekiranya pengurusan berjaya memujuk mereka.

Harith Haiqal terutamanya sering ‘diperam’ oleh Selangor walaupun mempunyai bakat besar, jadi tidak salah sekiranya beliau berhijrah bagi mendapatkan peluang untuk membuktikan diri.

Dengan kemampuan kewangan yang dimiliki pemilik Perak, XOX Berhad, dilihat tidak sukar untuk mereka mendapatkan pemain-pemain bintang ini.

Ia akan menjadi satu tamparan yang hebat buat Selangor sekiranya pemain-pemain ambil keputusan untuk berhijrah setelah melalui musim yang begitu teruk.