Aalia Carlson ingin bermain untuk Malaysia, letak WNBA sebagai matlamat utama dalam karier

384

Pemain bola keranjang kacukan Malaysia-Amerika Syarikat, Aalia Carlson pasang impian untuk mewakili negara dalam masa terdekat.

Beliau yang kini bermain bersama pasukan bola keranjang wanita Queen’s College Knights di New York mempunyai potensi yang besar untuk terus menyinar.


Pemain muda berusia 21 tahun ini masih belum dapat mewakili negara secara rasmi ekoran urusan dokumentasi yang masih belum selesai.

“Saya harap semua akan terus menyokong saya, jika tiada halangan satu hari saya akan beraksi untuk pasukan kebangsaan.

Saya akan terus bekerja keras pada masa depan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Sebagai seorang pemain bola keranjang, Aalia menjadikan  liga Women’s National Basketball Association (WNBA) sebagai matlamat utama beliau dalam kerjaya.

Meskipun dibesarkan di Amerika Syarikat, Aalia tetap tidak melupakan pertalian darahnya dengan Malaysia melalui ibu beliau yang berasal dari Pulau Pinang.

Aalia cukup selesa dengan budaya dan suasana di Malaysia, perkara ini membuatkan beliau gemar memilih untuk kembali ke Malaysia sekiranya mempunyai masa terluang.

“Saya merasakan Malaysia sebagai rumah kedua kerana saya cuba untuk pulang ke sini sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.”

Selepas ini, Aalia akan kembali ke Amerika Syarikat untuk membantu pasukannya yang bertanding dalam kejohanan bola keranjang Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan (NCAA).

Beliau memasang impian untuk mempamerkan aksi terbaik pada kejohanan ini untuk membawa pasukannya mencapai kejayaan.

Kejohanan ini merupakan sebuah platform yang besar kepada kesemua pemain bola keranjang yang mewakili kolej-kolej di Amerika Syarikat.

Negara tersebut dikenali dengan kehebatan sukan bola keranjangnya yang sukar ditandingi serta mempunyai lambakan pemain berkualiti sejak berkurun lama.

“Saya mahu pergi sejauh yang boleh tahun ini kerana perkara ini adalah sesuatu yang besar untuk kolej kami.

Tambah pula, ini adalah antara tahap yang tertinggi untuk seseorang pemain.”

Walaupun Aalia memiliki ketinggian yang sedikit rendah dibandingkan dengan pemain yang lain di dalam skuad, Aalia tetap optimis dapat membantu membawa pasukannya melangkah lebih jauh di dalam kejohanan tersebut.

Sukan SEA Kemboja 2023 mungkin menjadi pentas pertama Aalia untuk menyinar dengan pasukan kebangsaan.

Semoga dengan kehadiran beliau berserta pengalaman yang dibawa dapat memberi kelebihan yang besar kepada skuad negara untuk memberi cabaran di peringkat yang lebih tinggi terutamanya bagi mendominasi rantau Asia Tenggara.

Pada temasya Sukan SEA Hanoi 2021, pasukan bola keranjang wanita negara hanya berjaya membawa pulang satu pingat gangsa menerusi acara 5×5.

Aalia sebelum ini pernah menyertai program latihan bersama pelatih skill terkenal di Amerika Syarikat, Jordan Lawley.