Keselamatan dan pelindungan penyokong jadi kepentingan utama, terapkan disiplin demi menjaga nama baik kelab – Faiez Abdullah

217

Sejak kebelakangan ini, telah berlaku beberapa kekecohan yang terjadi ekoran daripada keganasan segelintir penyokong Liga Malaysia (Liga M) yang sengaja mencetuskan perkara ini.

Situasi ini menyebabkan berlakunya beberapa perkara negatif seperti pergaduhan dan rusuhan yang mengancam keselamatan penyokong lain yang turut hadir memeriahkan stadium.


Presiden Kelab Penyokong Bolasepak Johor Lembah Klang (KPBJLK), Faiez Abdullah berharap agar segala keganasan yang dilakukan oleh penyokong kelab Liga Malaysia (Liga M) tidak akan berterusan selepas ini.

“Kebanyakkan penyokong yang pergi ke stadium ketika ini adalah dari golongan yang berkeluarga.

Keselamatan dan pelindungan penyokong perlu jadi antara perkara utama yang harus ditekankan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

KPBJLK telah ditubuhkan pada tahun 2013 selari dengan rebranding pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC yang telah dilakukan oleh Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim Ismail (TMJ).

Kelab ini diwujudkan bagi mengumpulkan kesemua penyokong JDT yang berada di kawasan sekitar Lembah Klang untuk sama-sama memberikan semangat kepada pasukan kesayangan mereka.

Dalam pada itu, kesemua kelab penyokong dan pihak berkaitan perlu memainkan tanggungjawab sama rata dalam memastikan disiplin ahli dalam keadaan yang baik dan teratur.

Disiplin merupakan asas utama yang perlu dipatuhi oleh kesemua penyokong bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku.

“Kami sentiasa memperingatkan kepada semua ahli tentang disiplin-disiplin yang patut dipatuhi dan nama baik kelab yang patut dijaga.

Ini adalah perkara yang dititikberatkan oleh Tuanku sendiri.”

Sebelum ini, perlawanan Liga Perdana di antara TRW Kelantan FC dan Perak FC telah dicemari dengan insiden keganasan bola sepak semakin merebak.

Baru-baru ini, perlawanan di antara Melaka United FC dan Sri Pahang FC juga berakhir dengan aksi pergaduhan di antara penyokong kedua-dua pasukan.

Perkara ini perlu segera dibendung bagi memastikan keharmonian dan kemeriahan liga tempatan dapat terus dirasai.

Keganasan sebegini hanya akan menjejaskan usaha kesemua pihak dalam menarik minat lebih ramai penyokong dari pelbagai peringkat umur untuk turun memberikan sokongan di stadium.

Semua perlu mengambil tanggungjawab dalam menjadikan stadium sebuah tempat yang selamat untuk semua, bola sepak seharusnya menjadi medium penyatuan dan bukannya memecahbelahkan pelbagai pihak.