Khalid Jamlus harap pemain dapat kawal emosi, pertelingkahan rosakkan mood perlawanan

773

Pasukan Harini FT berjaya menundukkan tuan rumah, Imigresen FC (IFC) dengan keputusan 2-1 pada aksi suku akhir pertama Liga M3 yang dilangsungkan di Stadium UiTM.

Kedua-dua pasukan hadir dengan misi ingin mengumpul seberapa banyak jaringan bagi mendapatkan kelebihan sebelum melangkah ke aksi kedua suku akhir.


Situasi ini menyebabkan perlawanan sedikit tegang selepas berlakunya beberapa insiden pertelingkahan di antara pemain kedua-dua pasukan.

Pengurus pasukan Harini FT, Khalid Jamlus berharap agar kesemua pemain dapat sentiasa mengawal emosi dan tidak terkesan dengan sebarang provokasi yang dilakukan oleh mana-mana pihak

“Kegagalan mengawal emosi adalah perkara yang kita ingin elakkan tapi ia juga hal biasa dalam bola sepak.

Kedua-dua pasukan ingin menang tetapi perkara ini perlu dikawal bagi mengelakkan pemain terlalu terbawa-bawa dengan emosi sehingga merosakkan perlawanan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perlawanan yang berlangsung sengit ini diakhiri dengan satu insiden pergaduhan selepas tiupan wisel penamat.

Namun, situasi tegang tersebut berjaya dileraikan oleh pengadil dan barisan kejurulatihan daripada kedua-dua pasukan.

Ketegangan perlawanan ini semakin dirasai selepas pengurus pasukan IFC, Mohd Iqmal Haqimie dikenakakan kad merah menuju ke wisel penamat.

Meskipun menang pada perlawanan ini, Khalid belum ingin berasa terlalu selesa dengan kedudukan pasukannya.

Kehadiran penjaring terbanyak Liga M3, Firdaus Azizul selaku penyerang utama pasukan IFC akan menimbulkan pelbagai masalah kepada barisan pertahanan Harini FT.

“Perjalanan kami masih jauh lagi kami ada lagi perlawanan timbal balik, masih ada banyak kelonggaran yang perlu diperbaiki.

Persiapan akan terus dilakukan, ada beberapa orang pemain yang cedera dan apa-apa boleh berlaku.”

Selepas ini, Harini FT perlu terus kembali mencari solusi bagi mempertingkatkan kembali mutu permainan mereka yang dilihat sedikit longgar pada penghujung perlawanan.

Kecederaan beberapa orang pemain utama pasukan dilihat akan sedikit menjejaskan rentak kecemerlangan pasukan ini.

Harini FT merupakan antara pasukan pilihan untuk melangkah jauh selepas mereka mendominasi saingan Kumpulan B dengan 10 kemenangan daripada 18 perlawanan.

Aksi timbal balik di gelanggang keramat Harini FT dilihat akan menjadi perlawanan yang sengit bagi menentukan pasukan mana yang akan terus menghidupkan peluang layak ke Liga Super.