K. Reuben tekad lebih bersedia hadapi pemain berpengalaman, elak dikejutkan Imigresen FC
Pertahanan tengah Harini FT, K. Reuben tekad untuk terus memperbaiki kualiti persembahannya pada perlawanan suku akhir kedua menentang Imigresen FC (IFC) pada 27 Ogos nanti.
Beliau mempamerkan aksi yang cukup cemerlang pada perlawanan ini selepas berjaya menghalang kemaraan barisan serangan IFC.
Malam cemerlang Reuben turut disempurnakan dengan jaringan beliau pada minit ke-57 untuk meletakkan pasukannya di hadapan.
Bagaimanapun, Reuben tetap menganggap barisan serangan IFC yang memiliki pemain berpengalaman seperti penjaring terbanyak, Firdaus Azizul akan terus memaksa beliau untuk bekerja lebih keras pada perlawanan seterusnya.
“Saya rasa pemain berpengalaman perlu sentiasa diawasi kerana mereka mampu melakukan kejutan jadi saya sebagai pertahanan perlu sentiasa bersedia,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Gandingan Reuben dengan seorang lagi bekas pemain Liga Super, Azmeer Yusof berjaya menyekat asakan demi asakan yang dilakukan oleh pasukan lawan.
Kedua-dua pemain ini dilihat menjadi antara kunci utama kemenangan pasukan Harini FT selepas berjaya mengemudi bahagian pertahanan dengan cukup cemerlang.
Namun, peningkatan yang ditunjukkan oleh pasukan lawan pada penghujung babak kedua sedikit menggugat kekebalan pasukan Harini FT sehingga mereka dibolosi oleh pihak lawan pada minit ke-87.
“Memang kita bertarung dari awal minit untuk elak daripada dibolosi tetapi jaringan lawan di minit akhir sedikit mengecewakan saya selaku centre back.
Tetapi saya tetap gembira kerana berjaya jaringkan gol di hadapan keluarga saya yang turut hadir.”
Beliau tidak ingin mengulas dengan lebih lanjut tentang beberapa insiden pergaduhan yang berlaku sepanjang permainan.
Pemain berusia 32 tahun ini menganggap pasukan Harini FT telah melakukan pendekatan yang terbaik dalam menangani perkara ini.
“Pasukan kami ada polisi dari jurulatih supaya kami tidak membuka mulut sekiranya berlaku sebarang pergaduhan.
Kalau perlu untuk bercakap, hanya ketua pasukan dan pemain berpengalaman yang perlu bertemu pengadil, saya rasa ini pendekatan yang baik.”
Khidmat Reuben akan terus ditagih selepas ini untuk sekali lagi berhadapan dengan IFC pada aksi timbal balik.
Pasukan Harini FT akan terus mencari kemenangan bagi memastikan kemaraan ke perlawanan akhir sekaligus menghidupkan peluang kelab ini melangkah ke Liga Super musim hadapan.