Mat Zan akur Imigresen FC gagal bermain cara sendiri, bolos dua gol dalam 5 minit

429

Ketua jurulatih Imigresen FC (IFC), Mat Zan Mat Aris terpaksa akur dengan kekalahan anak buahnya di tangan pasukan Harini FT di perlawanan suku akhir pertama.

IFC tampak bergelut di babak pertama selepas gagal melakukan serangan merbahaya ke arah gawang lawan dan hanya mampu bertahan serta mengekang asakan bertali arus yang dilakukan oleh pasukan lawan.


Masalah ini terus menghukum anak buah Mat Zan tatkala mereka ketinggalan sejurus babak kedua bermula.

“Ada sedikit kelekaan daripada pemain pada separuh masa kedua sehingga kita bolos dalam masa lima minit.

Kita gagal bermain dengan corak permainan sendiri, tapi bagi saya kita mampu lakukan sesuatu pada aksi suku akhir kedua,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaupun begitu, dua jaringan yang dilakukan oleh pasukan lawan dilihat tidak mematahkan semangat para pemain IFC.

Mereka dilihat tampil lebih garang selepas jaringan tersebut untuk terus melancarkan beberapa serangan merbahaya ke arah penjaga gol Harini FT, Farizal Harun.

Kemasukan pemain pinjaman, Alif Romli di bahagian sayap nyata memberi nafas baru kepada pasukan dalam melakukan serangan.

Serangan demi serangan yang dilakukan berjaya membuahkan hasil selepas penyerang utama, Firdaus Azizul berjaya mengembalikan semangat pasukan menerusi jaringannya di minit ke-87.

“Kita memang nampak para pemain menunjukkan semangat berjuang yang tinggi walaupun ketinggalan 2-0 kita berjaya jaringkan satu gol.

20 minit terakhir kita berjaya menciptakan beberapa peluang dan tidak patah semangat.”

Setakat ini, Firdaus masih kukuh di tangga teratas senarai penjaring selepas berjaya mengumpul 21 gol secara keseluruhan.

Pengalaman dan ketajaman beliau di bahagian hadapan akan terus dijadikan sebagai senjata utama oleh Mat Zan untuk terus mencari jaringan bagi membolehkan pasukan ini melakukan kejutan pada aksi timbal balik.

Pemain pasukan IFC perlu lebih bijak mengawal emosi tatkala kebanyakan pemain mereka dilihat sedikit terkesan dengan provokasi dan keputusan yang dilakukan oleh pengadil sepanjang perlawanan.

Para pemain perlu segera melupakan kekecewaan pada malam ini (20 Ogos) untuk kembali bangkit pada aksi kedua.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen