Arif Sabron: Kami dirompak terang-terangan oleh Persatuan Hoki Perak

547

Sejak beberapa hari ini isu pemberian imbuhan kepada pasukan hoki negeri Perak menjadi panas apabila pemain-pemain pasukan tersebut meluahkan rasa ketidakpuasan hati mereka apabila wang imbuhan yang dijanjikan tidak ditepati oleh Persatuan Hoki Perak (PHP).

Pasukan hoki Perak dijanjikan imbuhan sebanyak RM5,000 seorang sekiranya dapat membawa pulang trofi Piala Tun Abdul Razak, tetapi mereka kemudian hanya diberikan imbuhan sebanyak RM2,350 sahaja.


Walaupun terkesan dengan isu ini, ia sedikit pun tidak membuatkan salah seorang tonggak utama, Arif Sabron menyesal menyarung jersi hoki Perak walaupaun merasakan dia dan rakan sepasukan seperti dirompak PHP.

“Sepanjang karier bermain untuk Perak, tidak pernah langsung saya rasa menyesal. Tetapi bila keputusan presiden cakap nak bagi RM2,000 sahaja sedangkan semua pemain dan jurulatih tahun jumlah RM130,000 insentif untuk pasukan, kami merasakan seperti dirompak secara terang-terangan.

“Tahun lepas pun berlaku perkara yang sama. Cuma bezanya tahun lepas kerajaan negeri bagi sedikit dan tahun ini jumlah itu lebih banyak,” ujarnya kepada Harimau Malaya.

Arif turut berasa kesal dengan sikap tidak profesional PHP yang dilihat seperti menggunakan pasukan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan nama dan pangkat, tetapi memberi layanan kepada seperti seperti mereka tiada maruah.

Tambahnya lagi, pihak PHP sepatutnya prihatin dan mengambil kira kebajikan setiap pemain dengan situasi ketika ini yang mana setiap pemain mempunyai komitmen masing-masing dalam situasi ekonomi ketika ini.

Jelasnya lagi, dia bersama rakan sepasukan tidak pernah mengeluh dengan elaun sedikit yang diterima, sebaliknya mereka memberi fokus seratus peratus untuk pasukan demi merangkul kejuaraan.

Arif turut mempersoalkan tindakan presiden PHP memasukkan insentif RM100,000 ke dalam persatuan dengan alasan ganti kos perbelanjaan.

“Kenapa presiden bagi alasan RM100,000 itu untuk ‘cover’ perbelanjaan. Habis kalua kalah dari mana sumber nak ‘cover’ perbelanjaan itu? Kenapa bila menang dan dapat habuan dari kerajaan negeri terus nak ‘cover’ perbelanjaan persatuan.

“Tahun lepas kami dapat jumlah yang sama, tapi kami faham atas faktor ekonomi semasa tetapi tahun ini berbeza kerana kerajaan bagi jumlah yang besar. Kami tidak akan maafkan dan menghalalkan jika kami teraniaya,” katanya lagi.

Walaupun sehingga kini pihak PHP masih mendiamkan diri, namun Arif menegaskan bahawa dia bersama pasukannya tidak akan berdiam diri dan akan terus memperjuangkan hak mereka dan berharap pihak PHP akan bersikap telus dan mengadakan perbincangan bersama bagi menyelesaikan isu ini dengan baik segera.

Ditanya samada dia akan meneruskan kariernya sebagai pemain hoki selepas ini, Arif berkata dia akan terus bermain hoki sekiranya dia diberi peluang.

Terdahulu pasukan hoki negeri Perak berjaya mempertahankan Piala Tun Abdul Razak selepas menewaskan pasukan Pahang 2-1 pada final yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil baru-baru ini.

Kejuaraan terbaru ini adalah yang keempat buat Perak apabila sebelum ini pernah memenanginya pada tahun 2017, 2018 dan 2020.