Sukar untuk jadikan gusti sebagai kerjaya, lebih sesuai digelar hobi

262

Sukan gusti semakin mendapat perhatian di negara sekitar Asia Tenggara namun tahap penerimaannya masih berada di tahap yang belum memuaskan.

Perkara ini diperakui sendiri oleh ahli gusti wanita profesional dari Singapura, Alexis Lee yang telah berkecimpung dalam sukan ini selama sembilan tahun.


Beliau percaya sukan ini semakin berkembang namun untuk meletakkan ia sebagai sebuah kerjaya tidak begitu sesuai dan menyakinkan.

“Kebanyakan dari kami di sekitar Asia Tenggara, kami ingin membawa sukan ini ke tahap yang lebih tinggi.

Tetapi, masih sukar untuk menjadikan sukan ini sebagai kerjaya utama tapi kami cuba sebaik boleh untuk membangunkan sukan ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau yang mula beraksi pada tahun 2013 merupakan antara ahli gusti ternama Singapura dengan reputasi yang cukup memberangsangkan sebagai ahli gusti profesional wanita pertama di negara tersebut.

Kegusaran ini dikongsi oleh seorang lagi penggusti Singapura, “Cypto Bro” LK yang turut percaya bahawa dengan tahap penerimaan terhadap sukan ini di Asia Tenggara ketika ini, sukan ini belum sepenuhnya mampu dijadikan sebagai salah sebuah kerjaya utama.

“Buat masa ini, lebih baik sukan ini dijadikan sebagai hobi, bilangan perlawanan ketika ini belum mencukupi untuk para penggusti menjadikan ia sebagai sebuah kerjaya.”

Peratusan ahli gusti yang berjaya serta mampu memanfaatkan sukan ini adalah sangat sedikit dan perkara ini akan menjejaskan pendapatan seseorang atlet tersebut.

Walau bagaimanapun, beliau tetap merasa gembira dengan keadaan di negara kelahirannya yang semakin menunjukkan perkembangan positif.

Singapura menjadi salah sebuah negara ASEAN yang aktif mempromosi sukan ini menerusi pengenalan beberapa pusat latihan gusti utama di negara tersebut.

Kehadiran ramai ahli gusti dari negara tersebut sedikit sebanyak membantu dalam memeriahkan lagi arena gusti rantau ini sekaligus memberi kesan kepada ahli gusti dari Malaysia dalam usaha mengembangkan lagi karier ke tahap yang lebih jauh.

“Penerimaan sukan ini di Singapura semakin baik, dahulu kami hanya mempunyai satu pusat latihan tetapi sekarang ia telah berkembang kepada tiga buah.

Ada seorang ahli gusti dari Singapura yang telah berjaya ke WWE, perkara ini sendiri menjadi satu pencapaian yang cukup membanggakan dalam sukan ini.”

Kejayaan luar biasa yang digapai oleh negara tersebut dapat dijadikan contoh kepada penggusti negara untuk terus berusaha dalam meningkatkan kualiti persembahan seterusnya berada di tahap yang lebih tinggi.

Semoga dengan wujudnya usaha dari beberapa negara ini dapat terus mengembangkan lagi sukan ini serta menambahkan lagi jumlah peminat dari satu masa ke satu masa.