Peluang KL City ke ‘final’ Piala AFC makin cerah, PSM Makassar keletihan manakala dua pemain kena kad merah

5,676

Juara Piala Malaysia, KL City FC akan kembali pada saingan Piala AFC pada Rabu menentang lawan dari Indonesia, PSM Makassar di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi perlawanan peringkat akhir zon ASEAN Piala AFC.

Pada perlawanan peringkat kumpulan Jun lalu yang turut berlangsung di Stadium yang sama, kedua-dua pasukan sekadar seri 0-0.


Ketika itu, ketua jurulatih PSM Makssar, Bernardo Tavares beberapa kali mengadu bahawa pemainnya kepenatan kerana terpaksa menghadapi jadual padat sebelum dan semasa saingan itu.

Perkara sama mungkin akan berlaku lagi pada perlawanan Rabu ini kerana PSM Makassar baru saja menghadapi saingan liga Sabtu lalu dan kemudian terpaksa terbang ke Kuala Lumpur.

Mereka kemudiannya bakal kembali ke saingan liga pada 28 Ogos untuk menentang gergasi liga, Persib Bandung.

Fokus mereka sudah tentu sedikit terjejas kerana terpaksa memberi perhatian kepada dua kejohanan dalam tempoh yang singkat.

Permintaan Tavares kepada pengurusan liga sebelum ini supaya perlawanan liga mereka ditangguhkan bagi memberi peluang kepada anak buahnya mendapatkan rehat yang cukup juga ditolak.

Ini berbeza dengan KL City yang turun dalam saingan liga pada 18 Ogos lalu dan mendapatkan rehat yang begitu cukup bagi melakukan persediaan untuk perlawanan Piala AFC nanti.

Mereka juga hanya bakal kembali dalam saingan Liga Super pada 1 September nanti, jadi mempunyai masa yang cukup untuk berehat.

Selain itu, PSM Makassar akan turun sedikit tempang kerana dua tonggak pertahanannya, Yuran Fernandes dan Agung Mannan tidak ikut bersama selepas mendapat kad merah pada perlawanan menetang Kedah Darul Aman FC sebelum ini.

Peluang ini tidak harus dipersia-siakan oleh anak buah Bojan Hodak untuk melangkah ke perlawanan akhir interzone, selepas penyertaan kelab India, ATK Mohun Bagan FC dibatalkan kerana Persekutuan Bola Sepak India (AIFF) digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Tambahan pula, motivasi pemain KL City sudah tentu berada dalam keadaaan yang baik kerana baru saja mendapatkan tonik tambahan selepas menewaskan Negeri Sembilan pada saingan liga.

Namun, KL City harus berhati-hati kerana pemain PSM Makassar juga mendapatkan tonik tambahan selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munafri Arifuddin menjanjikan bonus sekiranya mampu menjadi juara Zon ASEAN.

Prestasi mereka dalam liga musim ini juga amat baik, berada di kedudukan kedua mengumpul jumlah mata yang sama dengan Madura United yang berada di tangga pertama.

Mereka juga berjaya menewaskan penyandang juara Liga 1, Bali United dalam saingan liga musim ini.

Jadi sudah pasti tidak mudah untuk KL City mendapatkan kemenangan Rabu ini walaupun segala kelebihan memihak kepada The City Boys.