Beri ‘hint’ tukar ketua jurulatih dan import, Zamsaham mahu pastikan Kelantan FC beri saingan sengit dalam Liga Super

5,990

Selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 menentang Terengganu FC II semalam, kedudukan Kelantan FC di puncak Liga Perdana semakin tergugat selepas dipisahkan hanya tiga mata dengan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) yang kurang satu perlawanan.

Gaya permainan Kelantan dalam beberapa perlawanan sebelum ini juga dilihat kurang meyakinkan menyebabkan penyokong mula risau bagaimana kelab mahu bersaing dalam saingan Liga Super musim depan.


Melihat kepada perkara itu, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham memuatnaik satu hantaran Facebook bagi menjelaskan mengenai apa yang berlaku dan hala tuju kelab itu.

Beliau turut mengakui berhasrat mengikut cara kelab Austria, RB Salzburg yang menguruskan kelab dengan membeli atau membangunkan pemain muda sehingga menjadi bintang dan menjual dengan harga tinggi ke kelab ternama untuk menjana pendapatan dan ‘self-sustaining’.

Ini dapat dilihat apabila beliau tidak teragak-agak melepaskan dua pemain muda berbakat, Natanael Siringoringo dan Mior Dani, masing-masing ke kelab Dewa United dan Sri Pahang FC walaupun secara pinjaman.

Mentaliti yang ditunjukkan oleh anak jati Johor ini tidak banyak ada dalam kepala pemilik lain di negara ini.

Ini adalah satu cara yang terbaik untuk ‘membuat duit’ dan memastikan kelangsungan kelab di masa hadapan.

Selain itu, Zamsaham juga memberi petanda bahawa ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya dan dua pemain import, Nixon Guylherme dan Kenta Hara besar kemungkinan tidak akan bersama kelab musim depan.

Ini adalah kerana beliau mempunyai perancangan lain bersama Rezal manakala kedua-dua import tersebut tidak mencapai KPI yang ditetapkan.

Apa yang dilakukan oleh Zamsaham ini menunjukkan bahawa beliau sudah bersedia melakukan rombakan bagi menghadapi musim depan dan bersedia untuk memberikan saingan kepada kelab-kelab besar dalam Liga Super.

Mungkin di bawah pengurusan Zamsaham, Kelantan yang satu ketika dahulu pernah menjadi kelab yang digeruni akan kembali semula.

Beliau juga menunjukkan semangatnya terhadap pasukan yang dibelinya dua tahun lalu itu apabila sanggup berulang-alik dari Johor ke Kota Bharu untuk turun ke Stadium Sultan Muhammad IV apabila terdapat perlawanan.

Tidak ramai pemilik pasukan yang sanggup turun setiap masa untuk menyaksikan pasukan miliknya beraksi, lebih-lebih lagi yang hanya melihat pasukan bola sepak sebagai perniagaan semata-mata.

Kelantan sememangnya bertuah mendapat seorang pemilik yang bukan sahaja faham akan bola sepak, tetapi bijak dalam pengurusan.

Apa yang pasti, Kelantan pastinya akan berwajah baru bagi menghadapi Liga Super musim depan dan tidak mustahil mampu menjadi pencabar kejuaraan.

Gomo Kelate Gomo, hati-hati semua!