Ketegasan Buriram United jaga disiplin pemain jadi ‘benchmark’ kelab Asia Tenggara

1,182

Disiplin adalah perkara utama yang menentukan kejayaan seorang atlet dan juga boleh menjadi pemusnah karier dalam mana-mana sukan.

Dalam bola sepak contohnya, pemain-pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi mampu berada di puncak dalam tempoh yang lama kerana mempunyai disiplin yang baik.


Kelab Thailand, Buriram United baru-baru ini melakukan tindakan drastik dengan tidak membenarkan pemainnya menyertai skuad B-19 kebangsaan kerana mahu menjaga disiplin pemain mereka.

Menurutnya presidennya, Newin Chidchob, ramai pemain mereka terpengaruh dengan tabiat buruk seperti berparti, merokok dan meminum arak selepas menyertai pasukan bawah umur kebangsaan.

Apa yang dilakukan oleh Buriram United ini satu contoh yang amat baik bagi kelab-kelab lain di Asia Tenggara dalam menjada disiplin pemain mereka.

Sebagai kelab yang membayar gaji, mereka melindungi pemain mereka daripada pengaruh yang tidak sihat dan boleh menghancurkan karier mereka.

Dapat dilihat ketegasan kelab itu dalam menjaga disiplin membuahkan hasil berdasarkan rekodnya dalam liga dan saingan piala domestik.

Ia juga turut menjadi tamparan buat Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) kerana seolah-olah mereka tidak pandai menjaga pemain yang menyertai kem kebangsaan.

Selain daripada disiplin, Buriram United juga akan menghantar tiga pemain mereka iaitu Supachai Chaided, Suphanat Mueanta dan Rattanakorn Maikami menyertai latihan bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Leicester City ketika Liga Thailand berehat pada hujung tahun ini.

Walaupun pemain-pemain itu penting buat skuad Thailand bagi menghadapi Piala AFF, Buriram United tidak wajib melepaskan mereka memandangkan ia bukan dalam kalendar FIFA.

Chidchob nampaknya memilih supaya ketiga-tiga pemain itu meningkatkan tahap permainan mereka dengan kelab EPL berbanding menyertai kejohanan tersebut.

Cara Buriram United menjaga para pemainnya boleh dijadikan inspirasi buat kelab-kelab di Liga Malaysia kerana liga kita juga dikhabarkan mempunyai masalah pemain merokok dan berparti.

Tetapi, pemain sendiri sepatutnya tahu akan tanggungjawab mereka menjaga diri daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan karier mereka.

Di Malaysia, kelab seperti Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kelantan FC dikenali amat tegas dalam hal yang melibatkan disiplin pemain.

Sebagai contoh, pemilik Kelantan, Norizam Tukiman atau Zamsaham pernah menyenaraikan denda terhadap pemain yang tidak menjaga disiplin mereka.

Ini harus diikuti oleh kelab-kelab lain supaya pemain-pemain yang bermain dalam Liga Malaysia adalah mereka yang berdisiplin.

Ini secara langsung dapat meningkatkan kualiti permainan dan juga kualiti Liga Malaysia secara keseluruhan.