Penambahan kuota import dalam saingan AFC hanya beri kelebihan kepada pasukan kaya – Bernardo Tavares

233

Ketua jurulatih PSM Makassar, Bernardo Tavares berpendapat bahawa keputusan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) menambah bilangan kuota import dalam saingan AFC Champions League (ACL) dan Piala AFC bermula tahun depan adalah satu perkembangan yang tidak baik dan kurang wajar untuk pemain di benua ini.

Kuota pemain import bagi kedua-dua saingan itu ditambah daripada 3+1 kepada 5+1 berkuatkuasa mulai musim 2023-2024.


Menurut Tavares, ia hanyalah memberi kelebihan kepada kelab-kelab yang kaya kerana dapat membawa masuk ramai pemain import untuk mengisi kuota itu.

“Bagi saya ini boleh membunuh potensi bakat muda tempatan kerana apabila anda membawa ramai pemain luar, anda mengurangkan ruang bermain untuk pemain muda tempatan.

Saya tidak pasti ini baik unutk kembangkan bakat pemain muda Asia kerana pemain import yang datang biasanya hanya seorang daripada Asia dan selebihnya dari benua lain,”

katanya.

Dalam pada itu, mengenai persiapan pasukannya menentang KL CIty FC pada perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC Rabu ini, Tavares mengakui lawannya itu mempunyai kelebihan kerana merupakan tuan rumah.

Beliau turut mempersoalkan AFC kerana sekali lagi memilih Kuala Lumpur menjadi tuan rumah walaupun peringkat kumpulan sebelum ini diadakan di lokasi sama.

“Mungkin ia adalah kebetulan ibu pejabat AFC berada di Kuala Lumpur tetapi kami telah lalui banyak kesukaran sebelum ini, bukan melibatkan lokasi pertandingan saja.

Cuma saya harap jikalau kami tewas esok, kami tewas di tangan KL City tanpa sebarang pertolongan daripada pengadil.”

Sementara itu, pemain sayap PSM Makassar, Rizky Eka Pratama berharap mampu membanggakan seluruh warga Makassar dan juga Indonesia dengan mencatatkan kemenangan ke atas KL City.

Beliau menjangkakan perlawanan sukar dan mahu memberi 100 peratus bagi mendapatkan kemenangan.