Kombinasi antara warga asing dan tempatan, skuad B-23 negara bakal dikemudi pengendali Korea Selatan

1,960

Persoalan siapa yang bakal mengambil alih jawatan ketua jurulatih skuad B-23 negara masih belum terjawab selepas lebih sebulan penyandangnya, Brad Maloney melepaskan jawatan.

Maloney kini sudahpun dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-17 Australia awal bulan ini, manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih menunggu untuk mengumumkan pengganti Maloney.


Menurut Setiausaha Agung FAM yang akan meninggalkan jawatannya hujung bulan ini, Saifuddin Abu Bakar, ketua jurulatih baru akan diumumkan minggu ini dengan kombinasi jurulatih dari luar dan dalam negara.

Beliau juga berkata FAM tidak kisah berbelanja lebih bagi mendapatkan pengganti yang berkualiti.

Tiga nama yang disebut bakal mengisi kekosongan itu adalah bekas ketua jurulatih skuad B-23 Korea Selatan, Kim Hak-bum, penolong ketua jurulatih Kitchee FC, Kim Dong-jin dan juga bekas jurulatih Lion City Sailors, Kim Do-hoon. Semuanya dari negara yang sama.

Berdasarkan reputasi kesemua jurulatih tersebut, sudah tentu mereka tidak akan diletakkan sebagai pembantu ketua jurulatih.

Ini bermakna, jawatan ketua jurulatih akan diisi oleh jurulatih luar manakala pembantunya mungkin terdiri daripada warga tempatan seperti gandingan Kim Pan-gon dan E. Elavarasan di pasukan Harimau Malaya.

Ini juga adalah logik kerana FAM sendiri memberitahu bahawa skuad B-23 negara selepas ini akan menerapkan permainan yang sama seperti skuad senior.

Pan-gon juga sememangnya sudah mengenali nama-nama tersebut yang juga rakan senegaranya, jadi mudah buat beliau untuk bekerjasama dengan mereka dari segi bahasa, budaya dan juga persefahaman bola sepak Korea Selatan.

Malaysia juga bakal menghadapi kelayakan Piala Asia B-23 yang memberi tiket untuk ke Olimpik 2024 jadi ketua jurulatih baru harus dilantik dengan segera dan mula bekerja dari sekarang.

Siapa pun yang dilantik sebagai ketua jurulatih B-23 negara, penyokong sudah tentu mengharapkan individu tersebut dapat melakukan perubahan setelah mencatatkan keputusan menghampakan dalam beberapa kejohanan sebelum ini.