Terima banyak tawaran dari dalam dan luar negara, ‘Cheng Hoe-ball’ bakal buat kemunculan semula

2,958

Selepas meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaaan awal tahun ini, Tan Cheng Hoe sehingga kini masih belum membuat kemunculan semula dalam bidang kejurulatihan.

Walaupun namanya sering kali dikaitkan dengan beberapa kelab sebelum ini, beliau lebih selesa menafikan khabar angin yang timbul.


Sebelum ini, beliau pernah dikaitkan dengan pasukan Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC dan juga sebagai ketua jurulatih skuad B-23 negara.

Namun sejak beberapa hari ini, khabar angin kuat mengatakan bahawa beliau akhirnya akan kembali semula bersama sebuah kelab tempatan.

Dua kelab tempatan yang dikaitkan dengan Cheng Hoe adalah Selangor FC dan juga Perak FC.

Umum mengetahui bahawa Selangor sedang dalam pencarian ketua jurulatih yang baru selepas Michael Feichtenbeiner dilepaskan daripada jawatan itu baru-baru ini.

Ketika ini, penolong ketua jurulatih, Nidzam Jamil sedang memangku tugas itu tetapi pengurusan Selangor dikhabarkan telah merisik Cheng Hoe.

Bagaimanapun, kelab Liga Perdana, Perak FC juga dikhabarkan berminat mendapatkan khidmat Cheng Hoe untuk menggantikan ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

Ia berikutan prestasi buruk pasukan itu dalam saingan liga musim ini, di mana mereka ketika ini berada di tangga kedua tercorot.

Cheng Hoe juga dilaporkan telah berjumpa dengan pengurusan Perak FC untuk berbincang kemungkinan beliau mengendalikan kelab itu.

Tetapi, dengan Perak harus melalui saingan playoff dengan kelab Liga M3 untuk layak ke Liga Super selepas sah berada di kedudukan dua terbawah liga, adakah Cheng Hoe akan tetap memilih pasukan itu sekiranya terpaksa bermain di Liga M3 musim depan?

Selain daripada dua kelab tempatan, sebuah kelab Vietnam juga dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Tidak hairanlah sekiranya beliau menerima banyak tawaran sehingga dari luar negara kerana reputasi tinggi yang dimilikinya selain terkenal dengan corak permainan cantik ‘Cheng Hoe-ball’.

Nampaknya, hasrat peminat bola sepak tempatan untuk melihat Cheng Hoe kembali ke kancah kejurulatihan akan tertunai juga kelak.

Cheng Hoe juga sebelum ini pernah mengakui bahawa beliau akan mempertimbangkan untuk kembali semula sekiranya mendapatkan tawaran yang serius.

Mungkin tawaran yang serius itu kini telah tiba daripada salah satu kelab tersebut.