Syihan Hazmi akui ada kelab datang merisik, nafi sudah terima tawaran JDT

4,087

Penjaga gol Negeri Sembilan FC, Syihan Hazmi berteka-teki mengenai masa depannya musim depan dan menafikan bahawa telah menerima tawaran daripada juara bertahan Liga Super Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Menurutnya, beliau ada mendapat beberapa tawaran daripada pelbagai kelab tetapi masih belum membuat keputusan lagi kerana mahu menumpukan perhatian kepada pasukan sekarang.


“Memang ada kelab yang merisik saya tetapi buat masa ini saya hanya fokus kepada Negeri Sembilan dan tidak fikir apa-apa pun lagi mengenai masa depan saya.

Sasaran saya ketika ini bersama Negeri Sembilan adalah untuk pergi sejauh mungkin, kalau ada rezeki untuk saya main dengan kelab lain, adalah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Syihan turut menafikan bahawa beliau pergi menjalani latihan intensif di sebuah pusat latihan di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini sebagai persediaan untuk menyertai JDT.

Katanya, sebagai seorang atlet, beliau sentiasa mahu meningkatkan tahap kekuatan tubuh badannya supaya dapat meningkatkan prestasi di atas padang.

Dalam pada itu, beliau juga memberi pendapat mengenai prestasi rakan sepasukannya di skuad kebangsaan, Farizal Marlias yang bolos lima gol sewaktu mewakili JDT menentang Urawa Red Diamonds di Liga Juara-juara Asia (ACL).

Menurutnya, bola sepak adalah permainan berpasukan dan kesalahan tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu penjaga gol sekiranya pasukan dibolosi dengan jumlah gol yang banyak.

“Sebagai penjaga gol, kita kena lihat juga situasi bola itu macam mana dan sebagainya, saya juga tidak lari daripada melakukan kesalahan.

Sebab itulah dalam bola sepak kita bermain sebagai satu pasukan dan setiap posisi membantu antara satu sama lain.”

Sementara itu, Syihan berharap beliau dan rakan-rakan segera melupakan kekecewaan tewas kepada KL City FC sebelum ini dan bangkit pada perlawanan seterusnya menentang Sarawak United FC.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan itu akan berlangsung pada 9 September depan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Negeri Sembilan kini menghuni tangga ketiga Liga Super dibelakang pendahulu, JDT dan Sabah FC di tempat kedua.