Wanita untuk wanita! Keseluruhan skuad dari pemain sehingga ke ketua jurulatih bakal didominasi oleh wanita
Ketua jurulatih bola sepak wanita negara, Jacob Joseph akan dilepaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan kegagalan beliau membimbing Malayan Tigress tanpa sebarang kemenangan selepas beberapa kejohanan.
Tempat beliau bakal digantikan oleh seorang jurulatih yang bakal dibawa masuk dari luar negara namun identiti individu tersebut masih belum dimaklumkan lagi setakat ini.
Perkara ini diperakui sendiri oleh ahli jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, YB Dato’ Suraya Yaacob yang hadir pada saingan Liga Wanita Nasional (LWN) Zon Tengah baru-baru ini.
“Yang pasti skuad senior akan dirombak, nampaknya selepas dua tahun tanpa latihan kerana PKP dan sebagainya, prestasi pasukan ini dilihat kurang baik.
FAM telah bersedia untuk mengambil ketua jurulatih dari luar negara dan kita menantikan kehadiran beliau untuk bersama-sama dengan barisan jurulatih yang lain,”
katanya kepada Harimau Malaya.
Keputusan ini adalah tindakan yang sangat baik dalam usaha untuk meningkatkan kembali prestasi bola sepak wanita yang semakin jauh ketinggalan dari negara Asia Tenggara yang lain.
Terdahulu, Malayan Tigress telah melalui kempen yang cukup mengecewakan di kejohanan Piala AFF Wanita tahun ini selepas menamatkan cabaran di peringkat kumpulan.
Skuad negara hanya berjaya mencatatkan dua kali seri serta tiga kekalahan berturut-turut sepanjang lima perlawanan pada kejohanan tersebut.
Jelas sekali, pelbagai perkara perlu dilakukan bagi menjulang skuad bola sepak wanita negara ke tahap yang lebih baik termasuk dalam meningkatkan kualiti pemain di peringkat akar umbi.
Jumlah permainan kompetitif yang sedikit menjadi antara penyebab utama kepada jurang yang wujud di antara pemain negara dibandingkan dengan pemain dari negara Asia Tenggara yang lain.
Pasukan Vietnam dan Filipina semakin jauh ke hadapan selepas mereka berjaya menempah slot ke kejohanan Piala Dunia Wanita yang bakal dilangsungkan tahun hadapan.
“Yang menjadi kekurangan dalam negara adalah platform untuk pemain ini bermain, jadi kehadiran LWN membantu perbaiki perkara tersebut.
Untuk musim ini, kita akan mencapai lebih 100 perlawanan sepanjang LWN berlangsung ditambah dengan penganjuran Piala Tun Sharifah Rodziah.” kata Suraya.
Penganjuran kejohanan-kejohanan seperti LWN dan FAS Women’s Super League (WSL) sedikit sebanyak memberi petanda positif kepada kebangkitan bola sepak wanita negara.
Namun, perjalanan masih panjang dan penglibatan semua pihak amatlah diperlukan bagi menjayakan usaha-usaha ini.
Selain kejayaan ke Piala Dunia, Vietnam terus cemerlang selepas salah seorang pemain utamanya, Huynh Nhu berjaya mengikat kontrak bersama kelab divisyen utama Portugal, Campeonato Nacional de Futebol Feminino.
Pencapaian seperti ini perlu dijadikan pembakar semangat kepada para pemain bola sepak wanita negara yang dilihat gagal bersaing di peringkat antarabangsa
Dalam pada itu, selain ketua jurulatih, rombakan besar-besaran yang bakal dilakukan oleh FAM ini juga akan turut melibatkan kesemua individu di barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan.
“FAM kini bersedia melibatkan penglibatan wanita dari segi pembantu jurulatih, kitman dan sebagainya kecuali jurulatih penjaga gol sahaja yang memerlukan sedikit masa,” tambah Suraya.
Perubahan demi perubahan yang dirancang oleh FAM ini memperlihatkan kesediaan badan induk tersebut untuk mencari solusi bagi mengatasi kekecewaan yang terus melanda skuad ini.
Terima kasih FAM!