Usaha Negeri Sembilan FC tanam semangat patriotik ketika bulan kemerdekaan harus dicontohi

493

Setiap bulan Ogos, Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 hari bulan bagi memperingati hari negara bebas daripada penjajahan.

Kebiasaannya rakyat Malaysia akan menunjukkan semangat cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang.


Baru-baru ini, kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC telah menukar logo kelab di media sosial mereka dengan logo baru yang tertera Jalur Gemilang sebagai latar belakang sempena Hari Kebangsaan 2022.

Ia adalah satu usaha yang harus dipuji kerana mungkin perkara itu dilihat kecil oleh sebilangan orang, tetapi ia boleh memberi impak yang amat besar.

Sebagai sukan nombor satu di negara ini, bola sepak membawa pengaruh yang amat besar jadi usaha seperti ini harus dilakukan dengan lebih banyak lagi oleh kelab-kelab lain di negara ini.

Di luar negara, contohnya di Liga Perdana Inggeris (EPL), perkara seperti ini sudah biasa dilakukan contohnya memakai jersi dengan lambang bunga popi pada bulan November sebagai memperingati mereka yang gugur pada Perang Dunia Pertama.

Mungkin Malaysian Football League (MFL) boleh mencontohi apa yang dilakukan oleh Negeri Sembilan itu dengan mewajibkan semua kelab menampal Jalur Gemilang di jersi pada bulan Ogos.

Tidak semestinya hanya tertumpu kepada kelab-kelab tempatan, ia juga boleh dipraktikkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada jersi pasukan kebangsaan.

Ia adalah salah satu cara yang baik untuk menanam semangat patriotik dalam kalangan peminat bola sepak tempatan yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama dan juga peringkat umur.

Bukan sahaja Hari Kebangsaan, mungkin juga keraian lain seperti Hari Malaysia dan Hari Pahlawan boleh turut dipertimbangkan bagi memberi mesej positif kepada peminat bola sepak.

Ini juga mampu meningkatkan lagi nilai komersil Liga Malaysia serta boleh menjana kewangan melalui penjualan cenderamata edisi khas.