Fogarty jadi pemain badminton tertua di Kejohanan Badminton Dunia 2022, kenapa pemain Malaysia tidak mampu?

1,780

Pemain badminton Amerika Syarikat, Matthew Fogarty cipta sejarah selepas menjadi pemain tertua yang beraksi dalam Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo.

Fogarty yang kini berusia 65 tahun beraksi dalam acara beregu campuran bersama pasangannya, Isabel Zong yang berumur 30 tahun lebih muda darinya.


Semangat pemain ini wajar dipuji meskipun gagal menghabiskan perlawanan di pusingan pertama bertemu wakil negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei selepas beliau terpaksa menarik diri di set kedua ekoran daripada kecederaannya.

Bagi peminat badminton Asia, nama beliau mungkin sedikit asing dan jarang didengar tetapi beliau sebenarnya memiliki beberapa pencapaian memberangsangkan sebagai pemain.

Beliau yang dominan dalam acara beregu pernah memenangi Kejohanan Badminton Nasional Amerika Syarikat sebanyak empat kali bermula pada tahun 1980, 1984, 1986 dan 2000.

Kali terakhir Fogarty memperoleh tempat di podium adalah pada Kejuaraan Pan America 2014 bersama pasangannya, Bjorn Seguin dalam acara beregu lelaki pada usia 58 tahun.

Selain itu, Fogarty pernah berada di tangga 100 teratas dunia selepas berjaya meraih ranking ke-75 dunia pada tahun 2018.

Di sebalik semua ini, matlamat sebenar Fogarty bermain sehingga ke hari ini adalah untuk membuktikan pendiriannya menentang masalah integriti dalam sukan badminton di Amerika Syarikat yang pernah dihadapinya sehingga gagal menyertai Sukan Olimpik Sydney pada tahun 2000.

Semangat beliau ini seharusnya menjadi contoh kepada pemain badminton dunia terutamanya di sekitar Asia termasuk Malaysia kerana sehingga ke hari ini masih belum ada pemain yang kekal cergas bermain di arena antarabangsa sehingga mencecah usia 40an.

Walhal kebanyakan dari mereka masih berada di tahap terbaik namun faktor kesihatan dan kecederaan memaksa mereka mengundurkan diri.

Di Malaysia, umur maksima bagi seseorang pemain untuk bersaing di peringkat kompetitif hanya di sekitar 30an.

Sebagai contoh, legenda perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek hanya berumur 30 tahun ketika beliau mengumumkan persaraan pada 1990.

Sama seperti seorang lagi bekas bintang perseorangan negara, Datuk Foo Kok Keong yang tersenarai di antara pemain terbaik dari penghujung 1980 sehingga ke pertengahan 1990, mengumumkan persaraan dari arena antarabangsa pada tahun 1994 di usia 31 tahun.

Ramai lagi bekas pemain Malaysia yang turut mengambil keputusan sebegini atas alasan faktor kesihatan dan kecederaan berpanjangan.

Selain dari semangat pemain, kaedah perubatan yang diamalkan di negara Eropah boleh dijadikan sebagai contoh kepada negara Asia yang lain tatkala ramai pemain yang melebihi umur 30 tahun masih aktif bermain selaku pilihan utama negara-negara benua tersebut.

Bukan sahaja Malaysia, gergasi Asia yang lain seperti China turut berhadapan dengan masalah serupa.

Sebelum ini, legenda badminton negara tersebut, Lin Dan telah membuat keputusan untuk berundur dari pentas badminton dunia ketika berumur 37 tahun disebabkan oleh kecederaan beliau.

Kini, seorang lagi pemain bintang dari negara tersebut, Chen Long telah sekian lama menyepi dan tidak beraksi di beberapa kejohanan utama termasuk Kejohanan Badminton Dunia tahun ini.

Kebanyakan pemain yang mengambil keputusan untuk bersara awal adalah disebabkan mereka bergelut untuk mencapai kemenangan kerana fizikal dan mental yang tidak berada di tahap terbaik.

Sesuatu perlu dilakukan oleh pihak bertanggungjawab seperti Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memanjangkan lagi tempoh seseorang pemain untuk beraksi di tahap terbaik.

Malaysia kini memiliki ramai pemain muda berkualiti seperti Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong yang mampu menggalas tanggungjawab mewakili negara selepas ini di kejohanan-kejohanan utama dunia.

Cabarannya adalah untuk memastikan kesemua pemain ini sentiasa berada di tahap terbaik untuk memastikan mereka mampu memberi saingan bagi tempoh yang lama dan tidak tersisih awal akibat kecederaan yang menjejaskan karier.

Meskipun telah berusia 65 tahun, Fogarty masih memasang impian untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 setelah beliau gagal berbuat demikian pada edisi yang terakhir di Tokyo.

Semangat inilah yang perlu dicontohi oleh kesemua atlet dunia di luar sana, umur bukan penghalang untuk seseorang mencapai impian.