Atlet negara seperti Azeem Fahmi perlu cipta gaya tersendiri, wujudkan identiti unik untuk mudah diingati
Legenda pecut dunia, Usain Bolt baru-baru ini telah mendaftarkan gaya kemenangan beliau yang sering digunakan selepas memenangi mana-mana acara sebagai tanda dagangnya sendiri.
Perkara ini adalah untuk membolehkan gaya tersebut dijadikan sebagai logo kepada produk-produk yang bakal dikeluarkannya dalam masa terdekat.
Antaranya adalah pakaian sukan, kaca mata serta pelbagai lagi produk yang akan memperagakan logo ‘trademark’ Bolt.
Bolt sememangnya dikenali dengan gaya selebrasi tersendirinya yang sering menjadi ikutan para atlet lain terutamanya dalam acara trek.
Malah, gaya ini turut diikuti oleh beberapa pemain bola sepak dalam meraikan kejayaan mereka menjaringkan gol.
Hal yang sama turut berlaku di dalam kalangan atlet di Malaysia yang dilihat tidak mempunyai identiti tersendiri yang menjadi ingatan para peminat.
Sebagai contoh dalam sukan bola sepak, gaya jaringan yang sering digunapakai oleh para pemain ketika menjaringkan gol kebanyakannya diinspirasi oleh pemain bola sepak terkenal dunia.
Pemain sayap Terengganu FC, Faisal Halim sering meniru cara bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo dalam meraikan setiap jaringan yang dilakukan.
Bagi saingan musim ini, antara aksi yang paling mencuri tumpuan adalah gaya penyerang Sabah FC, Amri Yahyah yang meluru masuk ke dalam tong sampah untuk meraikan jaringannya pada perlawanan menentang Melaka United FC.
Tindakan spontan itu dilakukan selepas pemain berusia 41 tahun tersebut berjaya menjaringkan dua gol di minit akhir untuk membawa kemenangan kepada skuad Sang Badak.
Amri boleh berfikir-fikir untuk menjadikan aksi istimewa tersebut sebagai gaya utama beliau yang sehingga kini masih kekal berbisa di hadapan gol.
Wak Am berjaya menjaringkan lima gol sepanjang 14 perlawanan Liga Super musim ini.
Secara dasarnya, gaya selebrasi ini mungkin terlihat remeh di mata orang ramai, namun pada hakikatnya perkara ini sedikit sebanyak akan memberi kesan yang besar pada masa hadapan bagi seseorang atlet.
Seperti Bolt, gaya kemenangan yang menjadi trademark sepanjang kariernya ini bukan sahaja membuatkan bekas atlet tersebut kekal dikenali malah mampu menjadi elemen yang bakal menguntungkan beliau selepas berundur dari arena trek dunia pada tahun 2017.
Sudah semestinya, produk yang bakal dilancarkan oleh legenda pecut tersebut bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat setia beliau. Sama seperti jenama ‘Air Jordan’ oleh legenda bola keranjang dunia dari Amerika Syarikat, Michael Jordan.
Perkara ini juga boleh dijadikan contoh kepada pelari pecut muda negara, Azeem Fahmi yang semakin berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa.
Susulan kejayaan beliau memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Remaja Dunia B-20 Tahun di Cali pada usia yang muda, beliau sebenarnya memiliki waktu yang panjang untuk mencipta identiti selebrasi tersendiri bagi membolehkan beliau lebih dikenali selepas ini.
Perkara ini juga akan memberi impak positif kepada Azeem sekiranya satu hari nanti beliau berjaya menjadi antara pelari pecut terpantas di peringkat Asia Tenggara mahupun Asia.