Romel Morales bersedia jika dijadikan pemain naturalisasi, anggap Malaysia sebagai rumah kedua

5,864

Pemain import Kuala Lumpur City FC, Romel Morales menyatakan kesediaan beliau untuk beraksi sekiranya diperlukan sebagai pemain naturalisasi Harimau Malaya.

Beliau kini telah beraksi di Malaysia selama empat tahun bersama beberapa pasukan seperti Selangor PKNS FC serta Melaka United FC sebelum menyertai KL City pada Februari 2021.


Tempoh ini menjadikan beliau lebih dekat dengan suasana bola sepak Malaysia serta membuatkan pemain berasal dari Colombia tersebut berasa gembira.

“Sudah semestinya, sudah banyak persoalan tentang perkara tersebut dan saya akan kekal dengan jawapan yang sama bahawa saya sangat gembira berada di negara ini.

Saya berterima kasih kepada liga ini, sekiranya saya mendapat peluang beraksi bersama Malaysia, semestinya saya akan cuba berikan yang terbaik,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambahan pula, umur beliau yang baru mencecah 24 tahun akan memberi kelebihan bagi tempoh jangka masa panjang kepada pasukan negara.

Romel telah membuktikan kehebatan beliau selepas berjaya membuka jaringan pasukan The City Boys pada minit ke-33 bagi menyemarakkan lagi semangat kesemua pemain.

Aksi bertenaga ini berjaya dikekalkan sepanjang permainan sebelum beliau dikeluarkan oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak pada babak kedua akibat daripada kecederaan yang dialaminya.

Dalam pada itu, Romel melihat kejayaan pasukan KL City menewaskan pasukan PSM Makassar dengan jaringan besar 5-2 pada malam ini (24 Ogos) adalah hasil daripada saingan sengit yang perlu dihadapi oleh kelab tersebut dalam saingan Liga Super.

“Liga Malaysia semakin berkembang, kita semakin meningkat dengan baik, semakin banyak pemain berkualiti beraksi di liga.

Setiap pasukan di Malaysia semakin kompetitif, kesemua pemain bekerja keras disebabkan itu kami mencapai kemenangan pada hari ini.”

Ketiadaan tonggak pertahanan utama PSM Makassar, Yuran Fernandes yang diggantung memberi ruang yang besar untuk KL City melancarkan serangan demi serangan.

Gandingan Romel bersama pemain pinjaman, Jordan Mintah di bahagian hadapan menimbulkan kesukaran kepada pasukan lawan tatkala mereka dilihat sedikit terumbang ambing dalam mengawal rentak permainan.

Kejayaan ini juga adalah hasil daripada kerja keras kesemua pemain dan barisan kejurulatihan pasukan yang tetap memberikan sepenuh tenaga dalam memperbaiki kualiti permainan musim ini.

Semangat dan komitmen ini juga menjadi antara ‘batu loncatan’ kepada kejayaan demi kejayaan yang berjaya dicapai oleh pasukan ini meskipun baru pertama kali beraksi di kejohanan Pial AFC.

“Apabila kita melakukan perkara yang betul, semua perkara akan membuahkan hasil dan kami telah bekerja keras untuk musim ini.

Walaupun kami tidak cemerlang di liga, tetapi kami tetap mahu bekerja dan berikan sesuatu pada musim ini.”

Sekiranya penggantungan Persatuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) kekal sehingga 7 September, KL City akan bertemu samada Sogdiana Jizakh FC dari Uzbekistan atau kelab dari Hong Kong, Eastern Sporting Club di perlawanan akhir antara Zon.