Justin Lim tidak lagi bersama Melaka United FC? Pemain terus dihimpit masalah tunggakan gaji

4,032

Baru-baru ini Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) telah mendedahkan bahawa pihak mereka telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC yang berdepan masalah tunggakan gaji empat bulan.

Terbaru, sebuah lagi pasukan yang sudah ‘sinonim’ dengan masalah tunggakan gaji iaitu Melaka United FC kembali kedengaran.


Menurut sumber yang dekat dengan pemain Melaka United, difahamkan pemain skuad Hang Tuah hampir empat bulan tidak menerima gaji dan perkara ini nyata menjejaskan kehidupan mereka berikutan mereka mempunyai komitmen sendiri termasuk perlu menyara keluarga.

Apa yang membuatkan mereka berasa lebih bimbang dengan masa depan mereka apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Melaka United iaitu Datuk Seri Justin Lim dikatakan sudah meletak jawatan dari kelab tersebut.

Perletakan jawatan Justin bagaimanapun masih belum dapat disahkan buat masa ini berikutan tiada kenyataan rasmi dari pihak pengurusan Melaka United buat masa ini.

Entah di mana salah silapnya, pasukan Melaka United terus dihimpit dengan masalah gaji saban tahun dan pada tahun ini sudah dua kali mereka berdepan masalah gaji.

Sering terpalit dengan masalah yang sama membuatkan ramai yang mengatakan Melaka dan masalah gaji berpisah tiada.

Dengan penstrukturan Liga Malaysia pada musim hadapan oleh Malaysian Football League (MFL), masalah gaji sepatutnya semakin berkurangan dan bukannya semakin bertambah.

Jika isu ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, masalah tunggakan gaji akan menjadi lebih parah pada musim hadapan berikutan bajet setiap pasukan akan meningkat kerana Liga Super akan mempunyai 18 pasukan.

MFL perlu mengambil tindakan tegas terhadap pasukan yang kerap kali berdepan masalah tunggakan gaji kerana ia akan merencatkan perjalanan liga.

Tindakan pemotongan mata seperti yang dikenakan pada pasukan Perak FC perlu dikenakan kepada mana-mana pasukan yang mempunyai masalah gaji.

Apa yang akan berlaku pada pemain Melaka United selepas ini? Mampukah mereka menghabiskan baki saingan Liga Super pada musim ini tanpa gaji?

Diharap pihak pengurusan Melaka United dapat selesaikan masalah gaji pemain dengan segera kerana jika mereka tertekan dengan masalah yang dihadapi ia pasti akan memberi impak kepada corak permainan mereka.