KL City FC catat sejarah di peringkat Asia, penyokong pula bakar api kebencian antara dua negara

754

Kejayaan KL City FC menewaskan kelab Indonesia, PSM Makassar dalam perlawanan akhir Zon ASEAN Piala AFC 2022 bukan sahaja mencatat sejarah buat kelab itu tetapi turut mengharumkan nama negara.

Kira-kira 2,000 penyokong KL City FC meraikan kejayaan kelab itu di luar stadium dengan penuh kebanggaan sejurus perlawanan tamat.


Namun, insiden serangan penyokong KL City terhadap penyokong PSM Makassar sedikit sebanyak merosakkan kemeriahan sambutan tersebut serta hari bersejarah pasukan itu.

Di media sosial, kecoh apabila beberapa keping gambar tingkap bas penyokong PSM Makassar dipecahkan manakala terdapat penyokong yang luka di bahagian muka akibat batu yang dilempar.

Pada perlawanan itu, ketua pegawai eksekutif Malaysian Football League (MFL), Stuart Ramalingam turut hadir untuk memberi sokongan kepada KL City FC, jadi sudah tentu insiden itu turut diketahui olehnya.

Berdasarkan rekod, penyokong The City Boys mempunyai reputasi yang tidak baik dari segi disiplin, malah musim ini saja beberapa kali insiden keganasan dan pergaduhan melibatkan penyokong KL City berlaku.

Insiden terbaru ini sudah tentu akan membuatkan penyokong KL City lebih dikenali dengan budaya samseng.

Terdahulu, Stuart ada mengatakan bahawa pihaknya akan memperketatkan kawalan keselamatan ketika perlawanan akhir Piala FA 10 September nanti.

Insiden yang berlaku semalam harus dijadikan pengajaran oleh pihak MFL untuk mempertingkatkan lagi kawalan kerana kira-kira 100,000 orang akan hadir pada perlawanan itu nanti.

Dalam pada itu, insiden itu juga ibarat menconteng arang di muka negara sendiri memandangkan ia adalah pertandingan peringkat Asia.

Ditambah pula dengan hubungan antara Malaysia dan Indonesia dalam bola sepak yang sememangnya tidak baik, insiden itu boleh menambah lagi kebencian dalam kalangan penyokong di kedua-dua negara.

Sepatutnya, kejohanan antarabangsa ini dijadikan satu pentas untuk merapatkan lagi silaturrahim antara kedua-dua negara.