Langkah Tengku Fahad semakin besar, calon sesuai untuk angkat Sri Pahang FC lebih tinggi
Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Fahad Mua’adzam Shah telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2022 sehingga 2025.
Ini merupakan satu langkah besar baru untuk baginda semakin dikenali dalam arena bola sepak di Malaysia.
Terdahulu, pemilik kelab tersebut telah berjaya membantu dalam membentuk Pahang Rangers menjadi sebuah pasukan yang cukup digeruni dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) bagi beberapa tahun kebelakangan ini.
Baginda berjaya mengubah pasukan tersebut dari sebuah kelab futsal biasa yang dikenali nama Kuantan Rangers FC menjadi gergasi futsal negara.
Situasi ini membuka mata ramai pihak serta berjaya menarik minat pemain berkualiti dari luar negara untuk turut beraksi bersama pasukan tersebut.
Bintang futsal kacukan Indonesia-Wales, Rico Zulkarnain pernah beraksi bersama pasukan ini pada Julai 2017 bagi membantu pasukan bertanding dalam saingan Liga Futsal Brunei.
Pada masa yang sama, keazaman baginda juga dapat dilihat menerusi beberapa kerjasama yang telah berjaya dijalinkan dengan kelab-kelab ternama dunia seperti Chonburi Bluewave dari Thailand serta sebuah kelab dari La Liga, Levante UD.
Semangat ini menjadikan baginda sebagai antara calon yang sesuai untuk menjulang kembali bola sepak Sri Pahang FC ke tahap yang lebih baik.
Kini, pasukan Sri Pahang dipimpin oleh seorang lagi kerabat diraja Pahang, YAM Tengku Abdul Rahman selaku Presiden.
Namun, pasukan tersebut dilihat sedikit bergelut untuk mempamerkan kecemerlangan seperti yang pernah dilakukan suatu ketika dahulu.
Meskipun ada sedikit perubahan selepas kemasukan Fandi Ahmad sebagai Penasihat Teknikal serta Dollah Salleh sebagai ketua jurulatih, namun secara keseluruhan, pencapaian kelab ini masih berada di tahap yang kurang memuaskan.
Mungkin dengan adanya campur tangan dari Tengku Fahad mampu membawa sinar kepada bola sepak negeri tersebut yang kali terakhir merangkul kejuaraan pada tahun 2018 menerusi kejayaan di Piala FA.
Sekiranya perkara ini terjadi, kita akan dapat melihat pertarungan di antara kerabat diraja dalam bola sepak akan menjadi semakin meriah.
Ketika ini, antara dua kerabat diraja yang aktif dalam membantu kelab di Liga Malaysia (Liga M) adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ) bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) FC serta Raja Muda Selangor (RMS) di Selangor FC.
Kehadiran Tengku Fahad dengan matlamat dan minat yang mendalam terhadap bola sepak bakal menjadikan persaingan ini semakin sengit.
Baru-baru ini, Pahang Rangers berjaya menjadi naib juara berganda di dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia 2022 serta Piala Futsal Malaysia 2022 selepas ditewaskan oleh pesaing utama, Selangor MAC.
Bagaimanapun, diharap penglibatan Tengku Fahad di dalam FAM dapat memberi nafas baru kepada sukan futsal dan bola sepak pantai negara yang semakin ketinggalan jauh berbanding negara-negara ASEAN yang lain.