Penantian naturalisasi Indonesia terus berpanjangan, petanda baik untuk Harimau Malaya?

380

Sehingga ke hari ini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), masih belum dapat melengkapkan proses naturalisasi tiga pemainnya, Jordi Amat, Sandy Walsh serta Shayne Pattynama ekoran daripada beberapa proses yang belum selesai.

Tambahan pula, perkara ini belum dibincangkan di dalam Dewan Rakyat Republik Indonesia (DPR) meskipun telah dibangkitkan sekian lama.


Perkara ini menyebabkan kehampaan kepada pihak PSSI yang perlu menunggu dengan lebih lama untuk perkara ini selesai walaupun kesemua dokumen telah berjaya dilengkapkan sebelum ini.

Kekecewaan tersebut turut dikongsi oleh Exco PSSI, Hasani Abdulgani menerusi posting Instagram di akaun miliknya.

Disebabkan oleh hal ini, peluang untuk melihat ketiga-tiga pemain ini beraksi bersama skuad Sang Garuda mungkin belum mampu jadi kenyataan dalam masa terdekat.

Kelibat mereka besar kemungkinan tidak dapat dilihat pada aksi persahabatan menentang pasukan Curacao yang dijadual berlangsung pada 24 dan 29 September ini.

Jordi Amat baru mendapatkan satu aksi bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sewaktu diturunkan pada perlawanan peringkat 16 terbaik AFC Champions League 2022 menentang Urawa Red Diamonds.

Amat gagal menyinar pada perlawanan tersebut selepas dilihat bergelut untuk mempamerkan aksi terbaiknya.

Namun, berdasarkan pengalaman yang dimilikinya bersama beberapa kelab besar kelas dunia, Amat dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi antara pertahanan yang baik di peringkat Asia Tenggara.

Selain Amat, dua lagi pemain naturalisasi Indonesia juga merupakan pemain pertahanan.

Walsh kini beraksi sebagai pertahanan tengah untuk pasukan KV Mechelen di Liga Belgium manakala Pattynama sedang bermain untuk pasukan Viking FK di Norway selaku pertahanan kiri.

Penambahan pemain-pemain ini dilihat bakal menambahkan lagi kemampuan pertahanan pasukan kebangsaan Indonesia yang turut memiliki pemain berkualiti seperti Asnawi Mangkualam yang kini beraksi di Korea Selatan serta Pratama Arhan yang sedang berada di Jepun.

Sekiranya proses naturalisasi ini berlanjutan, kemungkinan besar pemain-pemain ini juga tidak dapat beraksi pada kejohanan Piala AFF 2022 yang bakal bermula Disember ini.

Ini akan membuka peluang  kepada pasukan bola sepak negara untuk kembali menebus kekecewaan yang terpaksa dihadapi pada edisi yang lalu.

Terdahulu, Indonesia berjaya membenam pasukan Harimau Malaya dengan jumlah jaringan besar 4-1 pada aksi terakhir peringkat kumpulan dalam saingan Piala AFF 2020.

Prestasi menyakinkan pemain kebangsaan ketika ini sedikit sebanyak memberi harapan kepada peminat untuk melihat skuad ini melangkah dengan lebih jauh pada edisi kali ini.

Tambahan pula, pasukan negara akan melakukan persiapan yang cukup rapi tatkala bakal bertanding pada Thai King’s Cup 2022 bermula 22 September ini.

Pasukan kebangsaan bakal menghadapi cabaran sukar di kejohanan tersebut selepas pasukan Taijikistan di ranking 108 dunia serta Trinidad & Tobago mengesahkan penyertaan selain daripada tuan rumah, Thailand.

Trinidad & Tobago yang pernah menjadi juara Piala Caribbean sebanyak 10 kali bakal menjadi pesaing terkuat berdasarkan pengalaman negara tersebut yang pernah menyertai Piala Dunia pada tahun 2006 di Jerman.

Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon perlu menyiapkan pasukan terbaiknya bagi memberi saingan di kejohanan tersebut.

Para pemain skuad Harimau Malaya akan kembali berkumpul dalam kem latihan pusat mulai 15 September 2022 sebelum berangkat ke Thailand.