Janji hanya tinggal janji, Stadium Muhammad IV gagal siap sepenuhnya untuk baki Liga Perdana
Sebelum ini, sebuah syarikat berpengalaman telah dilantik oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Kelantan bagi tujuan menaiktaraf lampu limpah serta sebarang kerja-kerja berkaitan projek membaiki Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Persepakatan ini telah berjaya dicapai menerusi Mesyuarat Penyelarasan dan Penyerahan Terima Surat Setuju yang telah diadakan pada 24 Februari lalu.
Syarikat tersebut mendapat tempoh 24 minggu bermula pada 10 Mac tahun ini dan dijangka siap selewat-lewatnya pada 24 Ogos.
Namun, janji tinggal janji kerana sehingga ke hari ini masalah utama berkaitan lampu limpah masih gagal diselesaikan serta ada beberapa peralatan stadium yang rosak dan tidak berada dalam kualiti yang baik.
Sebelum ini, tular gambar tentang keadaan scoreboard di stadium tersebut yang rosak.
Situasi ini telah memaksa pasukan TRW Kelantan FC serta Kelantan United untuk mengadakan perlawanan di sebelah petang.
Berdasarkan penstrukturan yang bakal digunakan pada perlawanan terakhir Liga Perdana musim ini, kesemua perlawanan bakal dilangsungkan pada waktu malam.
Oleh itu, berkemungkinan besar untuk kita melihat aksi #KelantanDerby di perlawanan terakhir yang sebelum ini dijadual pada waktu petang berubah ke satu venue berkecuali seperti yang pernah berlaku di awal musim.
Perkara ini sedikit sebanyak menjejaskan rentak kecemerlangan pasukan TRW Kelantan FC yang kini berada di kedudukan terbaik untuk merangkul kejuaraan setelah sekian lama.
Sekiranya perlawanan dipinda ke stadium lain, peluang untuk penyokong The Red Warriors untuk melihat pasukan kesayangan mereka menjulang piala di gelanggang keramat bakal musnah.
Pihak terbabit seharusnya memberi amaran dengan lebih awal tentang isu-isu ini bagi mengelakkan pelbagai masalah yang bakal timbul seperti sekarang.
Mereka seharusnya lebih bertanggungjawab dalam memastikan kesemua perkara ini dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.
Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham pasti antara individu yang terkilan selepas pelbagai usaha telah dilakukan oleh beliau untuk mengembalikan kegemilangan pasukan Pantai Timur tersebut.
Walau bagaimanapun, semoga isu ini tidak akan mengganggu fokus pemain Kelantan FC bagi memastikan mereka mencapai kemenangan pada dua perlawanan terakhir.
Kelantan berpeluang cerah merangkul kejuaraan namun mereka juga perlu berhati-hati kerana hanya dipisahkan tiga mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC II.
Ketua jurulatih, Rezal Zamberi Yahya dilihat berjaya menghasilkan formula terbaik dalam membentuk keserasian pasukan selepas berjaya mempamerkan aksi cemerlang musim ini untuk mencapai 11 kemenangan liga setakat ini.
Diharap agar masalah stadium ini dapat diselesaikan secepat mungkin memandangkan pasukan ini akan beraksi di Liga Super musim depan dan akan menghadapi jumlah perlawanan yang jauh lebih banyak.