Pemain Sabah FC lepak sambil ‘ditemani’ vape, mana disiplin sebagai pemain profesional?

5,988

Untuk menjadi seorang atlet profesional, disiplin adalah perkara utama yang perlu ditekankan kerana ia mampu menjadi penentu hala tuju karier seseorang atlet.

Seorang pemain bola sepak contohnya perlu menuruti pelbagai undang-undang dan pantang larang seperti tidak dibenarkan merokok dan menjaga pemakanan.


Baru-baru ini, sebuah video memaparkan pemain-pemain Sabah FC iaitu Nazirul Naim, ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar dan penjaga gol utama, Khairul Fahmi Che Mat makan di sebuah restoran tular di media sosial kerana terdapat e-rokok atau vape di atas meja.

Walaupun tiada siapa yang menghisap vape tersebut ketika video itu dirakam, kedudukan vape itu yang berada di hadapan pemain-pemain itu menunjukkan ia berkemungkinan besar kepunyaan mereka.

Mana-mana kelab di dunia ini, termasuk Sabah, sudah tentu akan melarang pemain mereka menghisap rokok atau vape kerana boleh menjejaskan prestasi dan stamina.

Pemain juga harus tahu tentang pantang larang mereka dan tanggungjawab mereka terhadap diri sendiri, kelab dan juga penyokong.

Perkara ini sudah tentu mampu mencalarkan reputasi kelab yang ketika ini berada dalam prestasi yang amat baik dalam liga.

Sabah adalah antara pasukan yang dilihat mampu memberi cabaran kepada Johor Darul Ta’zim dan mempunyai misi untuk layak ke pentas Asia, jadi perkara-perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.

Tambahan pula, pemain-pemain yang berada dalam video tersebut juga bukanlah calang-calang, kesemuanya merupakan pemain kebangsaan dan pemain utama dalam pasukan mereka.

Bekas tonggak Kedah Darul Aman FC, Baddrol juga merupakan pemain yang amat dihormati dalam arena bola sepak tempatan dan juga kapten Sabah, beliau sepatutnya menasihati rakan-rakan untuk menjaga disiplin dan juga menjadi teladan untuk pemain muda.

Perkara ini sudah tentu akan menghampakan ketua jurulatih, Datuk Ong Kim Swee yang terkenal dengan ketegasannya, serta para penyokong yang menjadikan para pemain sebagai idola mereka.