Ardy Wiranata jadi jurulatih baru Persatuan Badminton Kuching, Malaysia semakin serius gilap pemain muda

838

Legenda badminton Indonesia, Ardy Wiranata baru-baru ini telah dilantik sebagai jurulatih baru untuk Persatuan Badminton Kuching (KBA) bagi membantu sepenuhnya program pembangunan persatuan tersebut.

Ardy bakal menggalas tanggungjawab dalam membentu serta menghasilkan lebih ramai pemain muda berkualiti yang mampu menggalas cabaran di peringkat lebih tinggi terutamanya bagi mewakilii Sarawak.


Bekas pemain tersebut mempunyai rekod yang baik selaku jurulatih di Malaysia selepas berjaya membantu beberapa negeri sebelum ini di kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA).

Kehebatan beliau dalam bidang kejurulatihan juga terbukti selepas khidmatnya bersama pasukan badminton Kedah dari tahun 2010 hingga 2012 berjaya menghasilkan beberapa pemain berkualiti.

Salah seorang daripadanya adalah pemain No. 5 Dunia, Lee Zii Jia yang dilatih sehingga berjaya mendapat tempat bersama pasukan junior kebangsaan pada tahun 2013.

Sepanjang karier sebagai seorang pemain, Ardy telah mengecapi pelbagai kejayaan di arena antarabangsa.

Pencapaian tertingginya adalah sewaktu merangkul pingat emas di kejohanan Piala Dunia Badminton 1991 selepas mengalahkan wakil China, Zhao Jianhua di perlawanan akhir.

Pada masa yang sama, pengambilan Ardy ini membuktikan keinginan KBA dalam melahirkan lebih ramai prospek masa hadapan yang dapat menggalas cabaran negara di peringkat lebih tinggi.

Jurulatih perseorangan wanita negara, James Chua juga pernah melatih di KBA sebelum dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Ketika ini, banyak akademi dan persatuan di Malaysia semakin proaktif dalam usaha memperbanyakkan lagi jumlah pemain muda yang berkualiti.

Pada 23 Ogos yang lalu, Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) telah melancarkan sebuah program pembangunan yang diberi nama sebagai Projek Jejak Juara 2022-2027.

Projek ini dirangka oleh KLBA ini akan mensasarkan kesemua sekolah rendah dan menengah di sekitar Kuala Lumpur bagi mencari bakat muda seawal usia 10 tahun.

Inisiatif ini jelas menggambarkan kesungguhan persatuan badminton tersebut sebagai antara nadi utama kepada pembangunan akar umbi badminton negara.

Kesemua usaha ini juga selari dengan visi yang semakin diperlihatkan oleh BAM sejak kebelakangan ini.

Terkini, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria telah menyatakan keinginan dalam membentuk sebuah skuad elit remaja dalam tempoh terdekat.

Tindakan ini dilihat sebagai salah satu pilihan terbaik mengikut jejak langkah beberapa negara besar seperti Korea Selatan yang berani mempertaruhkan pemain remaja di kejohanan-kejohanan utama buat masa ini.

Situasi sama berlaku bagi pasukan Thailand selepas mereka dilihat lebih cenderung menghantar pemain-pemain muda selaku wakil utama di kejohanan antarabangsa.

Pendedahan di usia muda seperti ini bakal memberi keyakinan serta menambahkan lagi kualiti seseorang pemain bagi tempoh masa yang lebih panjang.

Peminat-peminat badminton Malaysia semestinya mengharapkan agar ada solusi yang dapat dicapai oleh pihak berkaitan dalam mengubati kekecewaan demi kekecewaan yang dihadapi oleh skuad badminton negara sejak kebelakangan ini.

Diharap agar lebih ramai pemain muda berkualiti seperti Zii Jia, Ng Tze Yong dan Justin Hoh dapat dihasilkan menerusi usaha ini.