Carlos Alberto Aranha ingin bawa Selangor MAC jadi juara Piala AFF Futsal, guna pengalaman sebagai senjata
Ketua jurulatih baru Selangor MAC, Carlos Alberto Aranha memasang impian untuk membawa pasukan bimbingannya melangkah jauh pada kejohanan Piala AFF Futsal di Thailand tahun ini.
Beliau yang lebih mesra dipanggil Beto optimis dengan peluang yang dimiliki oleh anak buahnya selaku pasukan futsal gergasi di Malaysia.
“Sasaran saya adalah untuk memberi saingan yang baik pada setiap kejohanan, saya sentiasa meletakkan sasaran untuk menjadi juara.
Futsal berbeza dengan sukan lain, setiap pemain perlu berada di tahap terbaik untuk memastikan kualiti permainan yang baik.”
katanya kepada Harimau Malaya.
Beliau memiliki pengalaman yang cukup luas di pentas antarabangsa sebelum ini bersama beberapa pasukan Eropah seperti Benfica di Portugal akan menggunakan segala yang termampu bagi merealisasikan impian untuk mendakap kejuaraan.
Perkara ini dilihat tidak mustahil memandangkan pasukan Selangor MAC memiliki lambakan pemain berkualiti yang sering menyarung jersi pasukan kebangsaan.
“Ini adalah pengalaman baru untuk saya, saya sudah mendapat pelbagai kejayaan di serata dunia jadi saya rasa ini adalah peluang terbaik untuk saya membantu pasukan ini.
Saya memiliki ramai pemain yang sangat bagus dari segi teknikal, Selangor MAC telah menjadi juara sebelum ini.”
Pada masa yang sama, Beto perlu mempersiapkan para pemainnya untuk lebih bersedia berhadapan dengan saingan daripada kelab-kelab hebat sekitar Asia Tenggara yang bakal menyertai kejohanan tersebut.
Kelab Bintang Timur Surabaya yang baru sahaja menjadi juara Liga Profesional Indonesia akan menjadi antara saingan terhebat pada kejohanan ini.
Kehadiran bintang-bintang Indonesia dalam pasukan tersebut sedikit sebanyak akan memberi tekanan kepada pasukan Selangor MAC dalam mencipta peluang.
Pemain-pemain perlu menjalankan tugas yang bakal diberikan dengan sebaiknya bagi membolehkan misi mereka menjulang trofi berhasil.
“Saya percaya kita berada di tahap yang berbeza, tetapi di peringkat ini yang paling penting adalah apa yang saya boleh bawa kepada pasukan.
Serta apa yang kesemua pemain boleh sumbangkan bersama-sama untuk bawa pasukan melangkah lebih jauh.”
Kejohanan Piala AFF Futsal ini akan berlangsung dari 4 hingga 10 September ini.