Belum ada kata putus untuk jurulatih futsal negara, tiada ‘update’ dari jurulatih tentang masa depan

280

Setakat ini masih belum ada sebarang kata putus yang telah dicapai berkenaan hala tuju ketua jurulatih futsal negara, Chiew Chun Yong susulan kegagalan di beberapa kejohanan sebelum ini.

Perkara ini diperakui sendiri oleh pemain kebangsaan, Mohd Azwann Ismail yang tidak memiliki sebarang maklumat tentang keputusan yang bakal dibuat.


Tambahan pula, telah sekian lama skuad kebangsaan menyepi selepas kecewa dengan kekalahan memalukan di kejohanan-kejohanan besar Asia Tenggara.

“Tentang perkara tersebut, saya sendiri tidak mendapat sebarang informasi terkini, Coach Yong tidak memberitahu kepada pemain tentang keputusannya untuk kekal bersama pasukan kebangsaan atau tidak.

Buat masa ini, belum ada khabar angin tentang kem latihan skuad futsal negara,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Pada masa yang sama, Azwann yang kini bersama pasukan Selangor MAC sedang bersiap sedia bagi menghadapi saingan di kejohanan Piala AFF Futsal yang bakal bermula 4 September ini di Thailand.

Kemasukan ketua jurulatih baru, Carlos Alberto sedikit sebanyak memberi nafas baru kepada pasukan ini yang terpaksa berpisah dengan bekas jurulatih, Marcelo Serpa disebabkan oleh kontrak beliau yang masih berbaki bersama pasukan di Perancis.

Meskipun perubahan ini berlaku dalam masa yang agak singkat, tiada masalah untuk para pemain terus memberikan aksi terbaik selaku salah sebuah pasukan terhebat di Malaysia.

“Bagi persiapan untuk Piala AFF Futsal ini, kedatangan Coach Beto memberi sedikit suntikan semangat untuk kita beraksi dengan baik.

Kesemua pemain bersedia memberikan aksi terbaik pada kejohanan ini.”

Perasaan yang sama turut dikongsi oleh seorang lagi bintang pasukan, Muhd Ekmal yang tidak melihat perbezaan ketara terhadap kedua-dua jurulatih ini.

“Pada saya, Coach Marcelo dan Coach Beto serupa dari segi taktikal, tetapi kebiasaan jurulatih luar mereka gemar menggunakan latihan berintensiti tinggi.

Tiada masalah untuk saya sesuaikan diri kerana kedua-dua jurulatih menerapkan corak permainan yang sama,”

ujar Ekmal.

Diharap momentum kecemerlangan pasukan ini yang telah ditunjukkan pada saingan liga dapat diteruskan bagi memastikan peluang pasukan Selangor MAC untuk merangkul kejuaraan menjadi lebih cerah.

“Kami akan lakukan yang terbaik dan kami meletakkan sasaran untuk memenangi kejohanan.”

Pasukan Selangor MAC perlu terus bersedia tatkala mereka akan menghadapi saingan beberapa pasukan terkuat di Asia Tenggara ketika ini.

Bintang Timur Surabaya dari Indonesia, Sahako FC dari Vietnam serta Hongyen Thakam dari Thailand bakal menjadi antara pencabar terkuat saingan berdasarkan prestasi yang dipamerkan oleh pasukan-pasukan ini di liga domestik.