Khalid Samad akui ada pihak cuba sabotaj KL City FC

1,015

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad mengakui ada pihak yang tidak berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi oleh KL City FC sehingga menyebabkan terdapat cubaan untuk menjatuhkan pasukan itu dengan melakukan sabotaj.

Khalid berkata demikian dalam satu sidang media sebentar tadi bagi menjelaskan laporan sebuah akhar sebelum ini yang melaporkan KLFA dan KL City kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pecah Amanah dan salah guna kuasa membabitkan wang tajaan KL City dan Akademi KLFA membabitkan jutaan ringgit.


“Kita mencapai kejayaan, lalu ada pihak yang tak puas hati dan dia nak block dan gagalkan kita dan dia nak sabotaj usaha kita,”

katanya.

Susulan itu juga, Khalid juga memberitahu beliau terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak akhbar tersebut bagi membersihkan namanya yang tercemar akibat laporan yang didakwa tidak benar.

Tambah Khalid lagi, fakta-fakta tidak benar itu didedahkan bertujuan untuk merosakkan imej dan reputasi KLFA dan KL City.

“Fakta-fakta ini memang dilakukan dengan niat untuk imej KLFA dan KL City kerana bila imej rosak saya tidak akan dapat duit daripada penaja dan pelabur. Saya di tengah tahun dan perlu lagi RM5 juta untuk cover perbelanjaan musim ini.

Dengan berita seperti ini orang yang nak melabur atau nak beli saham atau nak jadi penaja, dia akan lari kerana dia nampak ada skandal.”

Dalam pada itu, Khalid berkata pihak SPRM yang datang ke pejabat KLFA untuk berjumpa dengan pihaknya bagi menyiasat aduan yang diterima, dan selepas perjumpaan itu tiada apa-apa salah laku yang dijumpai.