KL City FC mungkin berdepan nasib tidak baik berganda

2,630

Kejayaan KL City FC menumpaskan PSM Makassar dalam perlawanan akhir Piala AFC Zon ASEAN sepatutnya menjadi berita gembira buat pasukan dari Malaysia.

Namun sebaliknya berlaku apabila tercetus insiden pergaduhan antara kedua-dua penyokong sebaik sahaja tamat perlawanan yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur sehingga menyebabkan ada yang cedera dan sebuah bas rosak akibat dibaling batu.


Susulan itu, pihak kelab PSM Makassar dalam satu kenyataan rasmi mereka telah menyuarakan rasa kecewa dan kesal dengan tindakan ‘ganas’ itu telah membuat laporan kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) supaya tindakan tegas dikenakan.

AFC menerusi Setiausaha Agung, Datuk Seri Windsor John pula telah memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang menunggu laporan penuh daripada pegawai perlawanan sebelum tindakan lanjut.

Jika didapati bersalah, Stadium Bola Sepak Cheras, Kuala Lumpur berkemungkinan akan disenarai hitam dan digantung dari diguna untuk beberapa tahun.

AFC pernah mengambil tindakan menggantung penggunaan sebuah stadium di Indonesia selama dua tahun berikutan insiden pergaduhan yang berlaku dalam stadium.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Abdul Samad dalam satu kenyataan telah menafikan bahawa penglibatan penyokong KL City dalam insiden pergaduhan tersebut.

Malah beliau juga menjelaskan bahawa insiden itu berlaku di luar kawasan stadium, namun beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan dan pihaknya sudah bersedia dengan segala kemungkinan.

Khalid berkata jika mereka didapati bersalah, mereka sedia untuk berdepan hukuman dan membuat rayuan kepada pihak AFC.

Beliau pada masa sama turut berkata pihak KLFA dan KL City akan mengambil tindakan tegas dengan mengharamkan pihak yang terlibat dari menghampiri kawasan stadium dengan mendapatkan perintah dari mahkamah.

Sementara itu, kegembiraan peminat The City Boys untuk melihat pasukan kesayangan mereka mendapat bye dari menentang ATK Mohun Bagan di tempat lawan dalam perlawanan separuh akhir Piala AFC Antara Zon tampak semakin tipis.

Ini kerana Persekutan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) sebelum ini digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) akibat campur tangan pihak ketiga dalam badan induk itu.

Namun AIFF telah pun meminta FIFA menarik balik penggantungan yang dikenakan terhadap mereka selepas mandat jawatankuasa yang mahkamah negara itu lantik untuk mentadbir sukan itu sudah ditamatkan dan diserahkan semula kepada AIFF.

Jika FIFA bersetuju untuk angkat semula penggantungan AIFF, maka KL City terpaksa berdepan dengan kelab dari India itu untuk merebut slot ke perlawanan akhir Piala AFC Antara Zon.

Apa sekalipun keputusan oleh AFC, peminat bola sepak Malaysia akan tetap teguh bersama KL City dan akan beri sokongan padu buat mereka untuk mengharungi perlawanan getir demi Malaysia.