Yusri Che Lah mungkin akan terus kekal di Ipoh walaupun Perak FC bakal menukar ketua jurulatih

1,563

Sejak Perak FC mendapat pemilik baru iaitu XOX Berhad yang menyelamatkan kelab itu dari terkubur akibat kemelut kewangan yang berpanjangan, mereka kini kembali mendapat perhatian dan menjadi sebutan ramai.

Biarpun ketika ini berada di tangga kedua tercorot dalam saingan Liga Perdana, namun perkembangan positif yang dipamerkan oleh skuad The Bos Gaurus menjanjikan sesuatu positif untuk masa depan bola sepak Perak.


Walaupun saingan liga untuk musim ini masih berjalan, namun sudah timbul khabar angin yang mengatakan Perak akan melantik ketua jurulatih baru bagi menggantikan Yusri Che Lah.

Ketua jurulatih baru yang akan dilantik itu dipercayai adalah seorang jurulatih yang mempunyai pengalaman luas untuk mengemudi pasukan itu bagi menghadapi saingan liga musim depan yang lebih mencabar dengan pengumuman penstrukturan Liga Malaysia oleh Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini.

Antara nama calon yang disebut-sebut akan menggalas tanggungjawab itu adalah bekas ketua jurulatih Harimau Malaya iaitu Tan Cheng Hoe, B. Sathianathan dan Dato’ K. Rajagobal.

Ketiga-tiga nama ini adalah jurulatih yang cukup besar dalam saingan liga tempatan yang mana masing-masing mempunyai kepakaran selain mempunyai trek rekod yang cukup cemerlang.

Tambahan pula, Cheng Hoe, Sathianathan dan Rajagobal kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan dan sudah bersedia membuat comeback dalam Liga Malaysia.

Jika benar pun khabar angin Perak akan membawa masuk ketua jurulatih yang baru, pengendali ketika ini iaitu Yusri berkemungkinan besar akan kekal di Ipoh.

Ini kerana beliau boleh dikatakan antara individu terpenting dalam pasukan kerana beliau tetap bersama pasukan ketika Perak berada dalam situasi yang cukup getir dan tetap menjalankan tugasnya dengan baik sekali biarpun berdepan 1001 kekangan.

Sudah pasti figura sepertinya amat penting buat pasukan kerana beliau sudah membuktikan kemampuannya dalam mengekalkan keharmonian dan motivasi pemain ketika tempoh sukar pasukan itu.

Jika Perak melantik ketua jurulatih baru, Yusri mungkin akan dijadikan sebagai penolong ketua jurulatih dan ini merupakan satu peluang yang cukup baik buat dirinya untuk menimba ilmu daripada jurulatih berpengalaman.

Disebalik kejayaan ketika mengendalikan pasukan dalam tempoh sukar, namun kita tidak dapat menafikan bahawa beliau tidak mempunyai trek rekod yang cemerlang ketika mengendalikan Kelantan FC, KL City FC dan juga Projek FAM-MSN.

Oleh sebab itu jika Perak melantik ketua jurulatih baru dengan Yusri sebagai penolong ketua jurulatih, pasti banyak ilmu yang boleh ditimba dibawah jurulatih berpengalaman luas.

Apa yang menguatkan lagi yang Yusri akan kekal di Perak adalah sokongan penuh oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC iaitu Bobie Farid Shamsudin mempertahankan Yusri yang dikecam hebat selepas tumpas kepada Projek FAM-MSN baru-baru ini.

Kekalahan tersebut telah menutup pintu buat Perak untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia pada musim ini.

Bobie dalam kenyataan di media sosialnya membidas tindakan segelintir bekas jurulatih yang gembira dengan kegagalan pasukan itu dan sudah mula memasang impian untuk kembali ke Perak untuk menggantikan Yusri.

Buat peminat Perak, usah peduli dengan segala tohmahan dan kritikan yang dilontarkan kepada pasukan anda kerana kepercayaan 100 peratus perlu diletakkan kepada pengurusan baru dalam mengembalikan zaman kegemilangan sekaligus kembali menjadi gergasi utara.